Zizan Razak Belajar 3 Tip Ini untuk Cekap Tunggang Motocross

0
38


BUKAN senang menunggang jentera motocross dalam trek off-road yang penuh debu dan tidak berturap. Pengendalian mesti sentiasa seimbang dan tepat dalam apa jua situasi sama ada ketika mula menunggang, memecut, mengambil selekoh atau membrek.

Sedikit saja kesalahan ketika menunggang boleh dikenakan penalti dalam perlumbaan, dan silap haribulan boleh bawa padah. Mungkin ada menganggap pembelajaran teknik off-road cuma sekadar hobi atau skil khas dalam sukan permotoran. Faktanya, kemahiran motocross sebenarnya mampu menambah baik kemahiran dan kecekapan seseorang ketika menunggang di jalan raya awam.

Pelawak Zizan Razak diberikan kesempatan menghadiri Bengkel Pengejar Impian untuk berlatih menunggang off-road. Tip latihan pula diberikan tiga pelumba PETRONAS yang bukan calang-calang hebat, terdiri daripada:

  • Ahmad Afif Amran (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing Team)
    • Juara PETRONAS Malaysia Cub Prix (CP150) 2018 dan 2019, (CP115) 2013
  • Muhammad Haziq Muhammad Fairues (Petronas Sprinta Maju Motor Racing)
    • Juara PETRONAS Malaysia Cub Prix (Yamaha Rookie Race) 2015
  • Muhammad Akid Aziz (Petronas Sprinta Maju Motor Racing)
    • Juara PETRONAS Malaysia Cub Prix (CP115) 2016 dan 2017, (CP115) 2013
    • FIA Asia Road Racing Championship (UD150) 2017, King of 2T (UMA Cub 180) 2018

Ketiga-tiga pelumba itu akan memberikan tip berbeza kepada Zizan membabitkan latihan pengendalian brek, mengawal pecutan dan kawalan selekoh.  Kemudian, beliau sendiri akan cuba melakukan simulasi berdasarkan tip yang diajar tiga pelumba tersebut.

Nak tahu apakah tip tunggangan motocross yang mereka ajar kepada Zizan? Jom baca…

LATIHAN 1 : PENGENDALIAN BREK

Pertama sekali, badan mesti duduk dalam posisi tegak ketika membrek supaya penunggang dan jentera dapat berhenti dengan stabil dan selamat. Kedua, pastikan tayar depan tidak terkunci. Maknanya, anda perlu memastikan motosikal dibrek dengan lembut dan tepat, bukannya secara mengejut seperti nampak lembu melintas. Pastikan guna kedua-dua brek.

Akhir sekali, pastikan tayar belakang tidak terangkat. Anda bukan saja perlu mengelak membrek mengejut hingga menyebabkan tayar depan terkunci, tetapi juga perlu mengelak tayar belakang terangkat. Jika berlaku juga, itu menunjukkan anda tidak membrek dengan betul sama ada cuma menggunakan brek depan sahaja, atau membrek terlalu keras.

Relaks.

LATIHAN 2: MENGAWAL PECUTAN

Nampak macam senang, tetapi payah. Kebanyakan jentera motocross memiliki tork tinggi. Jadi tayar motosikal memang senang untuk meligat (spin) atau wheelie. Jadi kawalan terotel sangat penting.

Bukan saja perahan terotel, pemasaan (timing) jari ketika melepaskan klac juga perlu tepat. Kalau kurang perahan terotel, motor akan tersengguk dan pergi macam siput. Kalau tersilap lepas klac, enjin boleh mati. Kalau terlebih perah terotel pula, memang tayar boleh terangkat, dan begitu juga kalau klac dilepaskan mengejut, atau tersilap timing.

Kalau dalam perlumbaan sebenar, anda boleh dikenakan penalti. Siapa cakap senang?

LATIHAN 3: KAWALAN MENGAMBIL SELEKOH

Ketika mengambil selekoh, terotel dan brek perlu dikawal dengan lembut dan tepat. Maksudnya, tidak boleh dikendalikan terlalu mendadak. Contohnya, tidak boleh memerah terotel terlalu cepat di selekoh. Anda juga tidak boleh membrek mendadak ketika mengambil selekoh. Kalau tidak, siap sedialah makan tar.

Cara paling ideal, sila membrek sebelum mengambil selekoh dan kawal hendal motor anda dengan baik. Apabila motosikal sudah keluar dari selekoh barulah terotel diperah dengan bersemangat.

Walaupun nampak mudah, faktor paling penting adalah timing! Anda perlu tahu bilakah masa yang tepat membrek sebelum mengambil selekoh supaya tidak terbabas kerana ruang selekoh yang kecil. Ingat, dalam trek motocross tak ada garis lumba (racing line).

Apapun, jangan berlatih di tempat awam. Carilah tempat selamat dan jangan lupa pakai sut menunggang yang sesuai. Paling bagus kalau dapat ambil kelas menunggang. Ngam?