PETRONAS Sepang Racing Team Bakal Gegar MotoGP 2019

0
2225
PETRONAS Sepang Racing Team

PETRONAS Sepang Racing TeamHARI dinantikan tiba, PETRONAS Sepang Racing Team (SRT) dalam acara di Dewan Filharmonik, Kuala Lumpur semalam mendedahkan jentera berserta seragam rasmi pasukan itu, bersama barisan pelumba yang bakal beraksi dalam Kejuaraan MotoGP 2019.

Saingan kelas premier, MotoGP dengan nama pasukan PETRONAS Yamaha SRT akan diwakili rookieterbaik 2018, Franco Morbidelli (21) dan rookie baharu daripada Moto2 2018, Fabio Quartararo (20).

Aksi Moto2 pula diserahkan kepada Khairul Idham Pawi (89), juga satu-satunya pelumba Malaysia dalam pasukan PETRONAS Sprinta Racing untuk kelas tersebut, manakala Moto3 digalas John McPhee (17) dan Ayumu Sasaki (71).

Hadir sama memperkenalkan pasukan baharu itu ialah Pengerusi PETRONAS, Datuk Ahmad Nizam Salleh, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, dan CEO Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang juga Prinsipal Pasukan PETRONAS Yamaha SRT, Dato’ Ahmad Razlan Razali.

PETRONAS Sepang Racing TeamYAMAHA YZR-M1 ‘SPEC A’

Pelumba utama, Morbidelli bakal mendapat Yamaha YZR-M1 ‘Spec A’yang sama ditunggang Valentino Rossi dan Maverick Vinales daripada pasukan pengilang, Yamaha Movistar. Quartararo pula diberikan M1 ‘Spec B’. Namun menurut Yamaha, ‘Spec B’ untuk pelumba Perancis itu dikatakan lebih berprestasi daripada jentera digunakan Johann Zarco musim lalu.

Khairul pula akan menunggang jentera enjin baharu daripada Triumph, bersesaran 3-silinder sebaris 765cc (140hp). McPhee dan Ayumu pula siap sedia mengemudi jentera Honda NSF250RW (62hp).

PETRONAS Sepang Racing TeamBARISAN PELUMBA TERBAIK

Sedikit ringkasan mengenai pelumba PETRONAS Yamaha SRT, selain rookieterbaik 2018, Morbidelli (EG 0,0 Marc VDS), ialah juara Moto2 2017 manakala Quartararo ialah rookie MotoGP musim ini yang direkrut masuk daripada Moto2 tahun lalu. Tahun lalu, dia menamatkan aksi di tempat ke-10 dan pernah dua kali menjejak podium sebagai juara (Catalunya, Sepantol) dan naib juara (Belanda).

Satu-satunya wakil Moto2, Khairul pula berhijrah dari IDEMITSU Honda Team Asia, manakala McPhee dan Ayumu tahun lalu masing-masing mewakili pasukan CIP Green Power (KTM) dan PETRONAS Sprinta Racing (Honda).

BACA >>> Petronas Yamaha SIC Pilih Morbidelli dan Quartararo, Lengkapkan Barisan Pelumba MotoGP 2019

PETRONAS Sepang Racing TeamYAKIN CAPAI TOP 6 MOTOGP

Menurut Razlan, penubuhan PETRONAS SRT menjadi sejarah dalam sukan permotoran motosikal dan juga impian ramai peminat MotoGP di Malaysia.

“Walaupun baru tahun pertama beraksi, kami yakin dan percaya dapat meraih kedudukan 6 teratas bagi perlumbaan MotoGP.

“Pelumba juga menerima jentera dan enjin sama seperti digunakan Rossi, dan mungkin kekurangan ialah aspek pelumba yang baru menyesuaikan diri dengan jentera. Tetapi berasaskan ujian tahun lalu, pelumba menunjukkan aksi sangat memberangsangkan dan berharap mereka (pelumba) dapat mengekalkan momentum dan lakukan yang terbaik,” kata Razlan.

Wan Zulkiflee pula menganggap pengenalan seragam PETRONAS Yamaha SRT dan PETRONAS Sprinta Racing sebagai detik penting dalam industri sukan permotoran Malaysia melibatkan syarikat multinasional itu.

“Perkongsian ini melengkapkan kehadiran PETRONAS dalam semua spektrum perlumbaan motosikal dari peringkat akar umbi di Cub Prix hingga perlumbaan antarabangsa seperti MotoGP, Moto2 dan Moto3, sekali gus meningkatkan penjenamaan global dan perkongsian teknologi, terutama dalam bidang bahan api dan pelinciran.

“Menerusi Solusi Teknologi Bendalir PETRONAS, ia akan disasarkan langsung untuk prestasi pasukan menerusi pembangunan dan ujian formulasi produk,” kata Wan Zulkiflee lagi.

Maklumat lanjut atau sentiasa mengikuti perkembangan Petronas Sepang Racing Team layari facebook PETRONAS Motorsports.

GALERI