Ingress Auto Puchong Ajak Pelanggan Pandu Sendiri BMW ke Bukit Tinggi

0
293


WAKIL pengedar BMW Malaysia, Ingress Auto Puchong ada cara menarik untuk menawan hati bakal pembeli mereka, iaitu dengan mengadakan konvoi pandu uji ke pusat peranginan Bukit Tinggi, Pahang, semalam (4 Februari 2018).

Ada enam model BMW akan diuji pelanggan Ingress Auto Puchong, iaitu:

  • 330e M Sport
  • 530i M Sport
  • 530 eSport
  • X1
  • X5 xDrive40e M Sport
  • 318i Luxury
  • 530e Sport (sedan hibrid plug-in elektrik (PHEV) paling baharu

Setiap pelanggan diberikan seunit BMW untuk mereka pandu sendiri dan trip konvol bermula di bilik pameran Auto Ingress Puchong seawal jam 9 pagi.

PANDU UJI KE BUKIT TINGGI

Selepas bersarapan, pelanggan diberikan taklimat ringkas mengenai peraturan dan langkah keselamatan sepanjang berkonvoi sebelum bergerak seiringan sambil dipantau staf teknikal BMW. Lalu lintas sedikit sibuk, tetapi lancar. Di stesen minyak Gombak sebelum memasuki tol Gombak, peserta berhenti untuk bertukar pemandu.

Selepas tol Gombak, setiap pelanggan diizinkan memecut laju untuk tahap kelajuan model idaman mereka itu. Di laluan berbukit menghala Bukit Tinggi, pelanggan berpeluang bermain dengan selekoh-selekoh tajam bagi menguji kualiti kawalan stereng kereta buatan Jerman itu.

Konvoi sampai di kawasan peranginan dalam jam 10:40 pagi. Setengah jam pertama dihabiskan dengan masing-masing berswafoto dan bergambar di samping kereta idaman mereka. Cuaca sedikit mendung, tetapi tidak hujan dengan angin sejuk bertiup sepoi-sepoi bahasa.

Kemudian, semua diajak minum kopi dan makan roti di sebuah restoran Perancis di dalam perkampungan buatan gaya Eropah. Ada yang bergambar, dan ada yang rancak bersembang. Sesi makan dan minum ditanggung beres pihak Ingress Auto Puchong.

Selepas perut kenyang dan hati senang, peserta konvoi pun berangkat pulang dengan masih mematuhi etika konvoi daripada staf teknikal. Macam-macam gaya memandu ada. Ada yang seperti mahu makan angin, dan ada yang beraksi bak pelumba. Maklumlah, alang-alang mahu pandu uji, mesti puas hati! Barulah rasa tenang nak sign cek bayar downpayment.

Semua peserta sampai dalam jam 2 petang di bilik pameran Ingress Auto Puchong dan sempat lagi dijamu makan tengah hari percuma sambil bersembang apa yang patut dengan jurujual dan staf BMW di situ.

Ini trip konvoi yang bagus dan sukses dilakukan Ingress Auto Puchong dalam usaha melayan pelanggan berpotensi mereka. Semua perjalanan mengikut jadual seperti dirancang, tidak banyak membuang masa dan tidak pula nampak kelam kabut serta tergesa-gesa. Staf teknikal memang profesional dan berpengetahuan tinggi.

Taklimat sebelum dan sepanjang pemanduan memang santai dan banyak memberikan maklumat teknikal dan keselamatan memandu yang berguna. Rasanya pelanggan tidak perlu lagi membelek brosur, cukup saja mendengar apa yang dijelaskan staf BMW menerusi walkie-talkie sepanjang berkonvoi.

Kredit untuk Ingress Auto Puchong!