Honda CBR150R (2017) Tampil Grafik Baharu, Rupa Terkini Lebih Agresif

0
5090


SELAIN memperkenalkan model facelift Honda Supra GTR150 (RS150R, di Malaysia), pengedar rasmi motosikal Honda di Indonesia, PT Astra Honda Motor (AHM) baru-baru ini turut mengumumkan saudara baharu moped itu – Honda CBR150R – dalam versi baharu.

Menurut AHM, Honda CBR150R baharu itu dihasilkan untuk membangkitkan jiwa lumba yang berkonsepkan ‘kawalan penuh’ (Total Control) penunggang.  Ada dua warna dan strip baharu ditampilkan dengan tema ‘bentuk kelajuan’ (speedy shape), iaitu Victory Black Red (hitam-merah) dan Slick Black White (hitam-putih).

Pada masa sama, AHM masih mengekalkan varian versi lumba sedia ada – Honda Racing Red dan MotoGP Edition atas permintaan tinggi peminat jenama itu di Indonesia.

KONSEP ‘TOTAL CONTROL’


Honda CBR150R baharu datang dengan konsep Total Control yang mampu memberikan pengendalian sempurna dalam sebarang situasi jalanan dan tork diperhalusi yang sesuai dijadikan motosikal harian.

Model ini dilengkapi dengan evolusi prestasi dan rekabentuk agresif berorientasikan kepantasan dengan bentuk aerodinamik yang diperkayakan ciri perlumbaan. Antara pembaharuan dilakukan CBR150R ialah inovasi casis untuk keseimbangan optimum, ketinggian pelana dilaras untuk keselesaan dan pengendalian sempurna, ciri moden dan posisi tunggangan mirip pelumba sebenar.

Pandangan depan Honda CBR150R 2017 lebih rendah dan ramping, dengan memberikan profil tunggangan lebih bebas dan hampir dengan jalanan. Panel meter juga lebih ramping, siap dengan indikator digital mudah lihat dan penutup minyak ala pesawat serta sistem pencahayaan LED penuh

Enjin diusung CBR150R ini berkapasiti 150cc DOHC, 4-injap, penyejukan cecair dengan transmisi 6-kelajuan. Angka prestasi mencatatkan 17.7hp pada 9,000rpm dan tork 14.4Nm (7,000rpm).

Penggunaan bahan api juga menjimatkan dengan anggaran 39.72km/liter menerusi metod ujian Euro 3 yang dilakukan mengikut kaedah ECE R40 di Republik itu. Apa yang dicapai itu bukanlah sesuatu yang luar biasa jika mengambil kira teknologi dimiliki CBR150R yang mampu memnimumkan penggunakan bahan bakar, dan pada masa sama mengoptimumkan prestasi.

Honda CBR150R baharu ditawarkan dalam 4 varian, iaitu Slick Black White dan Victory Black Red yang dijual pada harga atas jalan Rp32,975,000 (RM10,891), manakala opsyen warna Honda Racing Red berharga Rp33,675,000 (RM11,122) dan MotoGP Edition, Rp33,875,000 (RM11,188).

SPESIFIKASI

ENJIN 150cc 4-lejang DOHC 4-valve, penyejukan cecair
TRANSMISI 6-kelajuan klac basah
SISTEM BAHAN API PGM-FI
KUASA MAKSIMUM 17.7hp @ 9,000rpm
TORK MAKSIMUM 13.7Nm @ 7,000rpm
PENGHIDUP Elektrik
DIMENSI Panjang 1,983mm x Lebar 694mm x Tinggi 1,038mm
FREM Diamond (Truss)
SUSPENSI Teleskopik (depan); Lengan ayun dan monoshock – Pro-Link (belakang)
TAYAR 100/80/17 52P (depan); 130/70/17 62P (belakang)
BREK Cakera Hidraulik (depan & belakang)
KAPASITI TANGKI 12 Liter
BERAT KERB 135kg

 

SUMBER: Dapur Pacu