Tidak Tahan Keseksian RS150R di Malaysia, Honda Indonesia Umum Penampilan Baru Supra GTR150

0
7973


SEBENARNYA bukan kita saja yang cemburu dengan dunia motosikal di Indonesia, pembeli di Tanah Seberang sana pun apa kurangnya. Mungkin sebab menerima tekanan dan desakan tinggi daripada pembeli, pengedar rasmi motosikal Honda di Indonesia, PT Astra Honda Motor (AHM) mengumumkan pelancaran rupa baru Honda Supra GTR150.

Bagi yang tidak tahu, Honda Supra GTR150 dikenali sebagai Honda RS150R di Malaysia, model yang sama, tetapi cuma nama berbeza. Supra GTR150 dilancarkan di Indonesia pada Mei 2016, manakala debut Malaysia dibuat sebulan kemudian, iaitu pada Jun 2016.

Penampilan Supra GTR150 kali ini tampak kental dengan imej touring menerusi warna dan grafik strip baharu bersesuaian karakter penunggang muda moden. Ada tiga pilihan warna baharu ditawarkan, iaitu bagi varian warna Sporty, pembeli boleh memilih Spartan Red (merah) dan Nitric Orange (jingga), manakala varian Eksklusif, Gun Black (hitam).

Kedua-dua warna varian Sporty memberikan rupa dan karakter berbeza, di mana merah menyerlahkan semangat pengembaraan jauh, dan jingga pula lebih sinonim dengan imej ‘big bike’ Honda.

BACA >>> Honda RS150R Mampu Gugat Yamaha Y15ZR?

Warna Eksklusif Gun Black pula memberikan imej tersendiri menerusi pengenalan warna hitam pekat pada hampir keseluruhan kit badan, manakala rim disepuh warna emas. Aksen emas juga dicat pada penutup enjin bagi semua varian, tetapi versi Eksklusif nyata lebih menyerlah kerana dilihat kontras dengan kit badan gelap.

Honda Supra GTR150 ialah motosikal pertama di Indonesia yang menggunakan teknologi kit badan berlapis yang mampu menghasilkan aneka warna beragam, sekali gus tampil moden dan elegan.

Harga Supra GTR150 atas jalan di Indonesia bagi versi Sporty ialah Rp21,550,000 (RM7,104), manakala Eksklusif, Rp21,800,000 (RM7,187).

BACA >>> Yamaha Y15ZR Atau Honda RS150R? Kami Ada Jawapannya…

SUMBER: DapurPacu