Mugen Keluarkan Motosikal Elektrik Prestasi Tinggi

0
701


MUGEN Shinden selaku divisi dan makmal prestasi milik berasingan Honda, mengeluarkan motosikal elektrik E.Rex dan Shinden Roku. Ditayangkan pada Pameran Motosikal Tokyo baru-baru ini, E.Rex dibangunkan atas casis Honda CRF 250, dengan rupa badan diilhamkan daripada dinosaur terganas pernah ditemui di muka bumi, Tyrannosaurus (T-Rex) walaupun nampak seperti burung dodo pun ada juga.

Tidak dapat dipastikan sama ada rupa sebegitu turut ditawarkan untuk versi pengeluaran kerana cuma imej itu sahaja yang diperoleh di atas talian. Spesifikasi E.Rex juga tidak didedahkan dan motif dipamerkan adalah sebagai contoh usaha Mugen dan Honda untuk bekerjasama dalam meneroka potensi masa hadapan tentang jentera motocross elektrik.

Honda sebelum ini pernah menayangkan prototaip motosikal elektrik untuk kegunaan dalam bandar seperti EV-Cub Concept pada 2009 yang khabarnya berada di pasaran tahun hadapan. Walaupun masa depan sportbike RC-E masih tidak pasti, tetapi kemunculan jentera off-road elektrik ini seakan-akan memberi petanda positif.

Shinden Roku bakal bersaing dengan sebuah lagi motosikal elektrik, ZeroTT di Isle of Man dengan penunggang John McGuinness dan Guy Martin, bersama sedikit perubahan berbanding tahun lalu. Jentera ini 2.04kg lebih ringan dengan berat keseluruhan 247.9kg, manakala enjin menghasilkan kuasa 160.9hp dan tork 210Nm.

Motosikal tersebut juga mempunyai bateri baharu yang boleh dilanjutkan kuasa.