Tilam Terbang Melayang di Australia, Penunggang Motor Nyaris Cium Tar

0
1049


INSIDEN tilam melayang ini bukan berlaku di Malaysia, tetapi Australia, antara negara maju yang sentiasa menjadi impian percutian ramai rakyat negara ini. Penunggang Honda CBR1000, Aaron Wood hampir saja tergolek daripada motosikal apabila tidak semena-mena sebuah tilam terbang melayang ke arahnya di laluan terowong dekat Brisbane.

Berdasarkan video di bawah, serangan tilam itu datang dari sebuah trak pikap Toyota yang sedang menunda treler sangkar berisi tilam yang jatuh betul-betul di hadapan motosikal Wood. Mujurlah dia sempat membrek dan mengawal motosikalnya walaupun terlanggar juga tilam tersebut yang melekat di celahan madgad tayar depan.

“Saya sudah 20 tahun naik motor dan perkara macam ini tidak pernah berlaku,” kata Wood kepada akhbar Queensland Times.

Pihak berkuasa cuba mengesan suspek berdasarkan rakaman video dalam terowong, tetapi gagal kerana nombor pendaftaran tidak boleh dibaca. Jika ditangkap, suspek bakal menghadapi denda A$243 (RM808).

Sebenarnya, insiden itu bukan kali pertama berlaku. Malah, pihak berkuasa Australia mengakui setiap tahun menerima ribuan panggilan tentang pelbagai objek yang terbang melayang ke jalan raya sama ada barangan rumah, material pembinaan dan sisa buangan, termasuk aduan kes kecederaan, kematian, dan kesesakan lalu lintas akibat laluan terhalang.

Kebanyakan objek melayang tersebut datang daripada kenderaan milik pemandu yang bekerja dalam sektor pertanian dan perladangan. Walaupun berdepan hukuman denda, masih ramai pengguna yang masih berdegil dan enggan mengikat muatan barangan mereka dengan betul.

Apa yang pasti, insiden sedemikian langsung tidak menjejaskan hasrat rakyat Malaysia bercuti ke sana.

SUMBER: RideApart