Honda Monkey Akhiri Pengeluaran pada Ulang Tahun ke-50, Sayonara ‘Monyet’!

0
742


KHABAR DUKA ini pasti mengejutkan peminat motor klasik Honda. Selepas 50 tahun di pasaran, Honda memutuskan untuk menghentikan pengeluaran model Honda Monkey yang difahamkan akan berakhir pada Ogos depan.

Presiden Honda Motorcycle Japan, Chiaki Kato berkata, model berkenaan terpaksa dihentikan kerana sukar memenuhi standard ketat emisi Euro selain berdepan kekangan teknologi.

Bermula tahun ini, kami akan menghasilkan motor yang menepati regulasi. Memiliki motor dengan ekzos kecil agak sukar untuk melepasi tiga fasa regulasi di Eropah.”

– Chiaki Kato, Presiden Honda Motorcycle Japan


Justeru itu, sebelum berakhirnya legasi Honda Monkey di pasaran, pihak Honda mengeluarkan Monkey edisi terhad. Model tersebut bukan sekadar tanda perpisahan, tetapi turut meraikan usia Monkey yang sudah mencapai setengah abad dengan 1,800 unit sahaja dikeluarkan.

“Sayangnya, Monkey 50th Anniversary dan Monkey 50th Anniversary Special akan menjadi Monkey terakhir yang kami keluarkan,” kata Chiaki lagi.

Rekaan tidak berubah, cuma menerima beberapa penambahan, iaitu paten sarung pelana unik dengan gaya sofa yang dipadankan dua warna dan corak retro. Harga jualan ialah ¥352,080 (RM13,974) seunit.

Honda Monkey dijana enjin 49cc penyejukan udara yang menghasilkan kuasa 3.35hp pada 8,500rpm dan 3.4Nm (5,000rpm). Jentera seberat 68kg itu dipadankan dengan kotak gear 4-kelajuan.

GALERI