
BEBERAPA hari lalu, American Honda Motor Co Inc mengumumkan model 2018 pertama pengeluar itu dengan memilih Honda NM4 yang mana sebelum ini pernah muncul dalam bentuk konsep futuristik di Pameran Motosikal Osaka (OMS) 2014 sebelum dikeluarkan secara rasmi pada tahun sama.
Honda NM4 sebenarnya bukanlah motosikal yang dibikin untuk semua orang, tetapi Honda tetap berani mempertaruhkan jentera di luar kebiasaan. Hasilnya, motosikal seperti ini berjaya mengumpul peminat tegar tersendiri. Malah, pernah muncul dalam filem Hollywood, ‘Ghost In The Shell’ lakonan aktres popular, Scarlett Johansson, yang tampil dengan gaya futuristik serba canggih.
Bagi model 2018 di pasaran Amerika Syarikat (AS) ini, Honda NM4 masih mengekalkan enjin kembar-selari (parallel-twin) penyejukan cecair bersesaran 670cc dengan padanan sistem transmisi klac-dual yang lancar.
Jentera ini ditawarkan dalam satu warna sahaja, Matte Black Metallic (hitam), manakala harga diumumkan AS$11,299 (RM50,127), dan dijadualkan menjengah pasaran bermula Jun 2017.