
HONDA CBR250RR (2017) tidak dinafikan ialah model paling dinanti-nantikan ramai peminat dunia permotoran Malaysia. Namun, sehingga kini tiada petanda jelas konkrit yang dapat mengesahkan model itu akan dilancarkan Boon Siew Honda dalam masa terdekat.
Setakat ini, Honda CBR250RR sudah dilancarkan secara rasmi di pasaran Indonesia, dan turut dibawa masuk ke negara asalnya, Jepun sebagai jentera lumba. Baru-baru ini, Honda Racing Corporation (HRC) memperkenalkan model asas perlumbaan untuk CBR250RR dengan mempamerkannya kepada umum sempena Pameran Motosikal Osaka 2017 (18 – 20 Mac 2017) dan di Pameran Motosikal Tokyo 2017 (24 – 26 Mac 2017).
Menurut laporan, kelajuan jentera lumba itu mampu mencecah lebih 180kmj kerana alat pengehad kelajuan sudah dinyahaktifkan, termasuk dipasangkan sistem ekzos baharu dan tayar perlumbaan buatan Dunlop. Beberapa perubahan lain turut dilakukan seperti memasang unit kawalan elektronik (ECU) khas versi perlumbaan untuk kerja pemetaan enjin baharu.
SUMBER: Young Machine FB & Autoby FB