Red Bull Honda World Superbike Team diperkenalkan di Hangar-7

0
288

Pada tarikh 6 Februari 2017 baru-baru ini, Red Bull Honda World Superbike Team secara rasminya diperkenalkan di fasiliti terkenal Hangar-7 di Salzburg, Austria. Untuk perlumbaan WorldSBK musim ini, pasukan tersebut mempertaruhkan dua pelumba handalan Nicky Hayden dan Stefan Bradl, kedua-duanya akan menunggang Honda CBR1000RR Fireblade SP2 serba baharu yang sebelum ini membuat kemunculan pertama di INTERMOT 2016.

Dalam majlis yang diadakan itu, wakil-wakil daripada pihak media antarabangsa, Honda Motor Europe, para penaja, rakan kongsi teknikal dan Dorna selaku penganjur WorldSBK, telah menyaksikan secara langsung pengenalan jentera CBR1000RR Fireblade SP2 bersama-sama grafik dan warna terkenal logo Red Bull. Jentera yang kelihatan agresif itu menjadi bukti kerjasama yang erat dan mengujakan di antara Honda dan Red Bull.

Red Bull merupakan jenama minuman tenaga popular di seluruh dunia dan telah lama menjadi pemain utama di dalam bidang sukan bermotor dan sukan lasak. Kini bersama-sama Honda, buat pertama kalinya Red Bull telah menyertai dunia perlumbaan WSBK, seterusnya bergandingan dengan bekas juara Nicky Hayden (MotoGP World Champion in 2006) dan Stefan Bradl (Moto2 World Champion in 2011) untuk memberikan cabaran sengit.