Boon Siew Honda memperkenalkan Wave Dash Fi Edisi Terhad

0
630

Boon Siew Honda Sdn. Bhd. hari ini secara rasminya memperkenalkan Honda Wave Dash Fi Edisi Terhad terbaharu yang kini hadir dengan penampilan yang lebih sporty dan bergaya. Menurut Boon Siew Honda, pengenalan model berkenaan menyusul selepas sambutan meriah yang diterima oleh model Honda EX5 Fi Edisi Terhad yang dilancarkan pada bulan November 2016 yang lepas.

Berbanding varian terdahulu Honda Wave Dash Fi yang dilancarkan pada Januari 2016, Wave Dash Fi Edisi Terhad model tahun 2017 ini menerima gabungan warna badan ‘matte-black cover‘ dengan grafik baharu ‘red-black stripe‘, seterusnya meningkatkan gaya santai dan penampilan terbaharunya yang kelihatan lebih menarik dan segar. Ciri baharu lain yang diperkenalkan adalah seperti tayar tanpa tiub dengan stiker ‘sport’ rim berwarna merah yang eksklusif, serta turut dilengkapi dengan sistem brek dwi-cakera (model siri R sahaja).

Honda Wave Dash Fi Edisi Terhad 2017 masih mengekalkan enjin yang sama iaitu enjin empat lejang berkapasiti 109cc yang dipadankan Sistem Suntikan Bahan Api terancang (PGM-Fi), yang mana ianya telah membolehkannya diiktiraf sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV). Dengan ciri-ciri teknologi tersebut, ia bukan hanya meningkatkan prestasi jentera, malah berjaya mencapai penjimatan bahan api serendah 1.8L/100km.

Harga jualan yang disyorkan untuk Honda Wave Dash Fi Edisi Terhad ini adalah sebanyak RM5,775.94 untuk siri S dengan brek cakera tunggal dan RM6,040.94 untuk siri R yang dilengkapi brek dwi-cakera. Harga jualan tersebut adalah termasuk GST. Model tersebut juga didatangkan jaminan pengeluaran dua tahun atau 20,000km (yang mana terdahulu).