Yamaha V80 model tahun 1982, generasi terawal Yamaha Tiara

0
1017

Sebelum model-model motosikal dalam kategori ‘sport underbone’ moden berenjinkan 4-lejang seperti Honda Sonic 150R dan Suzuki Belang R150 muncul di pasaran, sudah terdapat pelbagai model 2-lejang dengan reka bentuk yang sama pernah berada di pasaran ASEAN termasuklah di pasaran Eropah suatu ketika dahulu. Antara yang terkenal seperti Honda Nova Dash, Kawasaki Leo, Suzuki Raider dan Cagiva Stella 125.

Bagi jenama Yamaha, mereka terkenal dengan model Tiara yang dilengkapi enjin 2-lejang bersesaran 120cc dan 125cc, khusus untuk pasaran Thailand dan Indonesia suatu ketika dahulu. Oleh kerana Kawasaki, Suzuki, Honda, Yamaha dan Cagiva mempunyai model-model masing-masing dalam segmen ‘sport underbone’ atau ‘ayago’ (nama panggilan di pasaran Indonesia), jadi ramai yang tertanya-tanya jenama manakah yang terlebih awal memperkenalkan model dengan reka bentuk seperti itu?

Berdasarkan carian yang dilakukan oleh penulis, agak sukar untuk memberikan jawapan tepat terhadap persoalan tersebut. Namun bagi Yamaha sebelum kemunculan model Tiara, mungkin model Yamaha V80 model tahun 1982 ini antara yang menjadi asasnya. Oleh kerana maklumat yang terhad, tidak dapat dipastikan pasaran manakah yang pernah menerima kehadiran model ‘sporty dan unik’ Yamaha V80 keluaran tahun 1982 ini