Benelli TNT 150 model tahun 2017 bakal dilancarkan

0
1413

Sebelum ini antara pasaran yang menerima kehadiran model ‘naked’ Benelli TNT 15 dengan enjin 150cc ialah Indonesia dan juga Vietnam. Untuk tahun 2017 ini, Benelli dikatakan bakal melancarkan versi naik taraf untuk model berkenaan, termasuk menggunakan nama baharu iaitu Benelli TNT 150. Buat masa ini video ‘teaser’ yang memaparkan beberapa ciri terbaharu Benelli TNT 150 2017 telah pun tersiar di dalam laman perkongsian video YouTube.

Melalui video ‘teaser’ tersebut, Benelli TNT 150 2017 diumumkan akan hadir dengan beberapa perubahan dari segi reka bentuk dan juga teknologi yang digunakan, namun begitu kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin, tarikh pelancaran, harga dan juga negara mana ia akan dipasarkan masih belum didedahkan. Dari segi gaya rekaan, ianya kelihatan lebih sporty dan agresif berbanding rekaan sederhana model terdahulu Benelli TNT 15.

Buat masa ini, pasaran Indonesia, Vietnam dan mungkin juga India dijangka akan ditawarkan model berkenaan, namun untuk pasaran Malaysia ianya masih terlalu awal untuk membuat sebarang jangkaan. Memandangkan model popular seperti Yamaha M-Slaz 150 dan Honda CB150R Streetfire tidak dibawa masuk ke pasaran Malaysia, mungkin dengan pelancaran Benelli TNT 150 2017 ini ianya akan memberikan lebih banyak pilihan kepada kita semua.

Sumber: http://news.maxabout.com/