KTN Rhino 125 dan KTN ZII 200 kini di pasaran Malaysia

0
6106

Walaupun pasaran motosikal di negara kita tidak semeriah pasaran di negara-negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam, masih terdapat beberapa model-model terbaharu yang menarik telah dilancarkan. Antaranya yang paling terkini ialah KTN Rhino 125 dan KTN ZII 200, kedua-duanya tampil dengan reka bentuk unik, bergaya dan sporty. 

KTN Rhino 125 ialah sebuah model kompak yang dikuasakan enjin bersesaran 125cc (Single Cylinder, 4-Stroke, Air-Cooled), yang kemudiannya dilengkapi tayar depan dan belakang bersaiz 120 / 70 dan disarungkan kepada rim berukuran 12 inci. Ianya turut dilengkapi sistem brek cakera di bahagian roda depan dan belakang, dengan berat kering hanya 102 kilogram. Kelajuan maksimum KTN Rhino 125 dikatakan mencapai 90 km/j.

Bagi model KTN ZII 200, penampilannya yang serba sporty dan menawan pasti akan menarik perhatian ramai. Ianya dilengkapi enjin berkapasiti 204cc (Single Cylinder, 4-Stroke, Air Cooled, Overhead Camshaft, Balance Shaft Type) dengan transmisi 6-kelajuan, termasuk sistem penghidup eletrik, brek cakera depan dan belakang serta berat kering 150 kilogram.

Berdasarkan maklumat di dalam ‘brochure’, kelajuan maksimum KTN ZII 200 ialah sekitar 110 km/j. Model tersebut tersedia dalam pilihan warna biru, merah dan putih. Menurut maklumat di dalam laman jual beli Mudah.my, KTN Rhino 125 berharga sebanyak RM7,208 termasuk GST, manakala KTN ZII 200 berharga sebanyak RM7,950 termasuk GST. Boleh dikatakan harga yang ditawarkan untuk kedua-dua model tersebut adalah berpatutan.