Pasukan Movistar Yamaha MotoGP 2017 diperkenalkan, Valentino Rossi bergandingan dengan Maverick Viñales

0
374

Pasukan Movistar Yamaha MotoGP bagi musim 2017 baru-baru ini telah diperkenalkan dengan rasminya di Madrid, Sepanyol, menyaksikan Valentino Rossi bergandingan dengan Maverick Viñales, pelumba muda dari Sepanyol yang berbakat. Dalam musim 2016 yang lepas, Rossi bergandingan dengan pelumba handalan Jorge Lorenzo yang kini telah berpindah ke pasukan Ducati. Maverick Viñales pula sebelum ini bersama pasukan Suzuki.

Dalam majlis pengenalan tersebut, pasukan Movistar Yamaha MotoGP turut memperkenalkan jentera YZR-M1 2017 dengan skim warna terkini yang kelihatannya lebih menyerlah namun tidak jauh berbeza berbanding jentera 2016. Melalui jentera tersebut, Yamaha turut memperkenalkan pelekat grafik BLUE CORE (Yamaha’s new generation engine development designed to extract maximum performance and fuel economy).

Sedikit maklumat mengenai Valentino Rossi, beliau merupakan seorang pelumba otai yang sangat berbisa apabila pernah merangkul kejuaraan sebanyak sembilan kali (World Championship Titles). Pada usia 37 tahun pada tahun ini, Rossi masih mampu memberikan saingan sengit seperti mana yang dibuktikannya sebelum ini. Dalam perlumbaan MotoGP musim 2014, 2015 dan 2016 yang lalu, Rossi unggul di kedudukan yang kedua.

Bagi pelumba muda Maverick Viñales yang kini baru berusia 22 tahun, kejayaannya menaiki podium di tempat pertama dalam perlumbaan di British Grand Prix pada tahun lepas ketika bersama-sama dengan jentera Suzuki, ternyata telah membuka mata banyak pihak akan kemampuan dan bakat yang dimilikinya. Perlumbaan pertama MotoGP bagi musim 2017 bakal berlangsung di Qatar pada tarikh 26 Mac 2017, sama-sama kita nantikan.