Yamaha YZF-R15 2017 diperkenalkan di pasaran Indonesia

0
464

PT Yamaha Indonesia Motor Manufacturing (YIMM) baru-baru ini pada 23 Januari 2017 secara rasminya memperkenalkan Yamaha YZF-R15 2017 serba baharu. Model ‘sport fairing’ itu dilancarkan oleh dua pelumba handalan pasukan Movistar Yamaha MotoGP untuk musim 2017, Maverick Vinales dan Valentino Rossi, dalam acara yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sentul, Bogor. Menurut YIMM, Maverick Vinales telah dilantik sebagai duta untuk R15 2017 serba baharu.

Yamaha YZF-R15 buat pertama kalinya diperkenalkan di pasaran Indonesia pada bulan April 2014, dan kini hadir dengan reka bentuk dan penampilan baharu yang lebih matang, moden, agresif dan lebih mewah berbanding generasi sebelumnya. Rekaan R15 2017 serba baharu mengambil DNA daripada Yamaha R-Series dengan mengutamakan ciri-ciri ‘Super Sport’, serta menggunakan kerangka ‘Deltabox’ yang kukuh dan lengan ayun belakang aluminimum rekaan baharu (New Design Aluminium Rear Arm) yang ringan. Kombinasi tersebut menjadikan pengendalian motosikal lebih stabil dengan nisbah pembahagian berat 50 : 50, bersama-sama ciri tunggangan yang kini jauh lebih aerodinamik.

Yamaha YZF-R15 2017 serba baharu kini turut dilengkapi lampu kabus (hazard lamp) untuk kegunaan di saat-saat memerlukan, di samping kelengkapan lampu depan dan belakang jenis LED. Dari segi prestasi, R15 2017 serba baharu dikatakan memiliki prestasi terbaik di dalam kelasnya. Enjinnya didatangkan dengan teknologi Variable Valve Actuation (VVA), membolehkan keluaran tenaga yang lebih tinggi dan pada masa yang sama menjimatkan penggunaan bahan api. Kuasa enjin yang dihasilkan mencapai angka maksimum 14.2kW @ 10,000rpm dengan tork puncak mencecah 14.7Nm @ 8,500rpm, yang mana menurut YIMM menjadikannya sebagai model ‘motor sport’ terpantas di dalam kelasnya.

Lebih menarik dan mengujakan, Yamaha YZF-R15 2017 serba baharu dilengkapi teknologi baharu ‘Assist & Slipper Clutch’, yang kebiasaannya hanya dibekalkan untuk motosikal dengan saiz enjin yang lebih besar. Ini menjadikannya sebagai model 150cc pertama yang dilengkapi teknologi tersebut. Sistem suspensi depan juga memperlihatkan perubahan ketara dengan pemasangan suspensi jenis ‘Up Side Down’ yang bergandingan dengan lengan ayun belakang baharu dan rim roda bersaiz lebar¬†(tayar depan: 100/80-17, tayar belakang: 140/70-17), seterusnya menjadikan pengendaliannya lebih sempurna dan terlihat semakin gagah. Cakera brek depan lebar berdiameter 282mm pula membolehkan pemberhentian motosikal dilakukan semaksimum mungkin untuk tahap keselamatan yang lebih baik.

Yamaha YZF-R15 2017 serba baharu kini turut dilengkapi paparan ‘speedometer’ digital sepenuhnya dengan ciri ‘shift timing light’ dan ‘gear position’ untuk lebih kemudahan ketika ditunggang. Beberapa fungsi lain pada paparan ‘Multi Information Display’ yang melengkapinya juga menjadikannya kini lebih berinformasi. Untuk pasaran Indonesia, tiga pilihan warna ditawarkan seperti ‘Racing Blue’, ‘Matte Black’ dan ‘Matte Red’, Setakat ini berdasarkan pemerhatian di dalam laman sesawang rasmi YIMM, harga jualan untuk R15 2017 serba baharu masih belum diumumkan.

Spesifikasi 2017 Yamaha YZF-R15

  • Overall Length x Width x Height: 1990 x 725 x 1135 mm
  • Seat Height: 815 mm
  • Wheelbase: 1325 mm
  • Wet Weight: 137 kg
  • Engine Type: Liquid Cooled 4-stroke, SOHC
  • Cylinder Arrangement: Single cylinder
  • Cylinder Volume: 155.1cc
  • Bore x Stroke: 58 x 58.7 mm
  • Compression Ratio: 11.6 : 1
  • Maximum Power: 14.2 kW / 10000 rpm
  • Maximum Torque: 14.7 Nm / 8500 rpm
  • Starting System: Electric
  • Fuel Tank Capacity: 11 Liter
  • Fuel System: Fuel Injection
  • Clutch Type: Wet Type Multi-Plate Clutch
  • Tire Size (Front/Rear): 100/80-17M/C 52P (Front) & 140/70-17M/C 66S (Rear)