Demak Warrior 150 kini di pasaran Malaysia

0
198

Demak Warrior 150 merupakan sebuah model ‘street naked’ yang dilengkapi enjin berkapasiti 149.4cc (4-Stroke, SOHC, Air & Oil Cooled Vertical Engine) dengan padanan transmisi 5-kelajuan (1 Down 4 Up). Kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin tersebut mencapai 9kW atau bersamaan 12hp @ 6,500rpm dengan tork puncak 12Nm @ 6,500rpm. 

Ciri-ciri lain yang melengkapi Demak Warrior 150 termasuklah sistem penyampaian bahan api jenis karburator, sistem penghidup tendang dan eletrik, suspensi belakang monoshock, suspensi depan terbalik (USD front fork), brek dram di bahagian roda belakang, brek cakera depan, tangki bahan api maksimum 14.5 liter dan berat kering keseluruhan 145 kilogram.

Reka bentuk dan penampilan Demak Warrior 150 boleh dikatakan agak menarik dan sporty, yang mana rekaannya dipercayai mendapat inspirasi daripada model Benelli TNT 25 atau Benelli TNT 300. Berdasarkan maklumat sebelum ini, model tersebut telah dilancarkan di pasaran Sri Lanka pada tahun lepas dan kini didapati mula dijual di pasaran Malaysia.

Harga asasnya dikatakan sebanyak RM7,100 bagi pembelian secara tunai, berdasarkan maklum balas daripada wakil penjual di Sungai Petani, Kedah kelmarin. Sebagai perbandingan, harga asas untuk Yamaha FZ150i ialah sekitar RM8,753. Pilihan lain yang lebih menarik daripada Demak mungkin model Demak Dart DXT 250 yang tampil lebih sporty.