Khabar angin moped Benelli sedang diuji di Malaysia

0
214

Sementara menantikan maklumat terkini mengenai model moped Modenas 150cc yang dijangka akan dilancarkan pada pertengahan tahun ini, penulis telah mendapat perkhabaran mengenai motosikal moped keluaran Benelli yang dikatakan sedang di uji di Malaysia.

Namun begitu disebabkan tiada sebarang gambar-gambar ‘spyshot’ yang boleh dijadikan bukti kukuh, maka kalangan pembaca blog Arena Permotoran bolehlah mengandaikan bahawa laporan ini hanyalah khabar angin sahaja buat masa ini. Apa yang boleh penulis katakan, dua orang individu yang menjadi rujukan penulis ini mempunyai kredibiliti masing-masing di dalam industri permotoran tempatan masa kini.

Antara maklumat yang penulis perolehi ialah Benelli sedang menguji dua model moped terbaharu dengan enjin 125cc dan 150cc, namun tarikh pengeluaran untuk kedua-duanya masih belum dapat dipastikan. Penulis dapat membayangkan salah sebuah model yang sedang diuji itu ialah Benelli MV Tornado 125 yang sebelum ini membuat kemunculan di EICMA 2015.

Maklumat yang diperolehi juga mengesahkan bahawa moped keluaran Benelli itu akan dilancarkan di pasaran Malaysia pada tahun ini, cuma ianya perlu menunggu giliran selepas pelancaran rasmi model ‘sport fairing’ Benelli Tornado 302R, model kembara Benelli TRK 502 dan juga model scrambler bergaya klasik Benelli Leoncino.

Jika benar, kehadiran moped keluaran Benelli sama ada dengan enjin 125cc atau 150cc pasti akan memeriahkan lagi segmen permotoran tempatan yang setakat ini dikuasai oleh moped Yamaha Y15ZR dan Honda RS150R. Bersama-sama dengan moped 150cc yang sporty dan berkuasa dari Modenas dan SYM Super Moped 175i, mana satu pilihan paling menarik agaknya?