Honda CUB 100EX model keluaran 1988 dan 1989

0
36

Honda EX5 merupakan sebuah model motosikal kapcai yang sangat popular di pasaran Malaysia. Jualannya di pasaran tempatan bertahan sehingga 26 tahun sebelum pengeluarannya ditamatkan secara rasmi pada 31 Disember 2013. Pengganti untuk model tersebut ialah Honda EX5 Dream 110 yang dilancarkan sebelum itu pada Julai 2013.

Berdasarkan pengalaman sendiri, bapa penulis pernah membeli Honda EX5 keluaran tahun 1995, membolehkan penulis merasai sendiri kehebatan model tersebut. Oleh kerana kagum dengan kekuatan enjinnya yang tahan lasak, bunyi ekzos yang merdu, mudah dikendalikan, pecutan yang lancar mencecah 110km/j dan jimat petrol, penulis telah membeli sendiri Honda EX5 baharu keluaran tahun 1999 pada harga tunai RM4,200.00.

Berdasarkan pengalaman menunggang motosikal tersebut selama beberapa tahun, penulis sangat berpuas hati dengan prestasinya. Malangnya oleh kerana penulis terjebak dengan kegilaan dunia kereta bermula pada tahun 2002, EX5 kesayangan itu telah dijual. Entah di mana agaknya motosikal dengan nombor plat KAV 577 itu sekarang?

Kemudiannya pada tahun 2005, penulis sekali lagi membeli Honda EX5 baharu yang lebih dikenali dengan nama Honda EX5 Dream pada harga tunai lebih kurang RM3,500.00, namun apa yang diharapkan ternyata agak menghampakan. Prestasi EX5 Dream ternyata tidak mampu menandingi prestasi EX5 generasi terdahulu yang dirasakan lebih mantap dan tahan lasak.

Bagaimanapun, Honda EX5 Dream tetap laris di pasaran tempatan. Penulis percaya jika Boon Siew Honda masih mengeluarkan Honda EX5 original sama seperti model Honda Cub 100EX dalam paparan imej di atas, tentu ramai yang masih akan membelinya sehingga kini.