Model terakhir KTM 1190 RC8 R dikeluarkan pada tahun 2015

0
159

Di kalangan ramai peminat motosikal superbike di seluruh dunia, model-model berjenama Jepun dan Itali kebiasaannya lebih dikenali. Kawasaki, Yamaha, Honda, Suzuki, Ducati dan Aprilia, merupakan pengeluar superbike yang sangat terkenal. Namun begitu jenama pengeluar motosikal KTM dari Austria, turut pernah mengeluarkan sebuah model superbike dengan reka bentuk yang cukup menawan iaitu KTM RC 1190 RC8 pada tahun 2008.

Model terakhir KTM RC 1190 RC8 R diperkenalkan pada tahun 2011, dengan kuasa maksimumnya mencapai 173hp @ 10,250rpm dan tork maksimum 123Nm @ 8,000rpm. Jualan terakhir model tersebut ialah pada tahun 2015. Terdapat sedikit kontroversi mengenai pemberhentian jualan RC8 R, apabila KTM mengeluarkan kenyataan bahawa superbike dengan kuasa yang terlalu tinggi amat berbahaya untuk digunakan di jalan raya awam.

Tidak dapat dipastikan sama ada kenyataan tersebut adalah di atas dasar tanggungjawab KTM terhadap keselamatan penunggang dan juga orang awam, atau sebenarnya mereka tidak mampu lagi bersaing dengan model-model terhebat buatan Jepun dan Itali. Namun begitu untuk peminat setia KTM, berita terbaharu mengenai jentera MotoGP KTM RC16 yang akan dikeluarkan dalam versi produksi mulai 2018 sangat dialu-alukan.

Setakat ini KTM mengatakan pengeluaran KTM RC16 versi produksi hanyalah untuk kegunaan di litar sahaja, bermakna tiada versi jalanan untuk ditunggang di jalan raya awam. Nampaknya KTM masih berpegang teguh kepada kenyataan mereka sebelum ini bahawa superbike berkuasa tinggi terlalu berbahaya, hanya sesuai untuk digunakan di litar sahaja. Apa pula pendapat anda, setuju dengan kenyataan tersebut?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here