
Kawasaki Motor Indonesia hari ini secara rasminya melancarkan model kembara terbaharu Versys-X 250, dalam dua varian City dan Tourer. Model tersebut sebelum ini bersama-sama Versys-X 300 telah muncul buat pertama kali di EICMA 2016.
Untuk pasaran Indonesia, harga Versys-X 250 City adalah sebanyak Rp. 61.9 juta (bersamaan RM20,354.71 mengikut kadar tukaran semasa) manakala Versys-X 250 Tourer berharga sebanyak Rp. 72.7 juta (RM23,906.10 mengikut kadar tukaran semasa).
Enjin yang melengkapi Versys-X 250 adalah sama seperti mana enjin yang digunakan untuk model Ninja 250 FI dan Z 250, yang kemudiannya dipadankan transmisi 6-kelajuan. Dari segi rekaan keseluruhan, ianya adalah sama seperti model Versys-X 300.
Perbezaan di antara Versys-X 250 City dan Versys-X 250 Tourer ialah dari segi kelengkapan aksesori, yang mana versi Tourer telah dipasangkan pelbagai aksesori yang bersesuaian untuk aktiviti penjelajahan jarak jauh yang lebih menyeronokkan.
Untuk lebih ciri keselamatan, Versys-X 250 didatangkan dengan sistem brek ABS, manakala pilihan warna yang tersedia ialah hijau dan kelabu untuk varian City dan hijau dan oren untuk varian Tourer. Untuk pasaran Indonesia, jualannya akan bermula dari Februari 2017.
Sumber: TribunOtomotif