Kawasaki Ninja 250 versi 2017 disebut-sebut bakal dilengkapi sistem supercharger untuk peningkatan kuasa segera

0
307

2016-kawasaki-ninja-250

2016 Kawasaki Ninja 250

Honda telah membuktikan keupayaannya untuk mengeluarkan jentera 250cc dengan prestasi yang cukup memuaskan melalui model CBR250RR, manakala Yamaha pula sedang mempersiapkan versi kemaskini terbaharu YZF-R25 2017 yang dijangka akan lebih berkuasa dan garang. Jadi apa berita terkini mengenai Kawasaki Ninja 250 versi 2017?

Sebelum ini penulis pernah menyiarkan sebuah artikel mengenai kemungkinan bahawa Kawasaki Ninja 250 akan dilancarkan dengan enjin 250cc 4-silinder pada tahun hadapan, namun kini timbul pula laporan terbaharu yang menyebut bahawa Ninja 250 versi 2017 akan dilengkapi enjin 250cc dengan sistem induksi paksaan ‘supercharger’. Setakat ini Kawasaki H2 dan Kawasaki H2R telah mengguna pakai sistem supercharger, membolehkan penjanaan kuasa yang lebih pantas pada kadar yang lebih tinggi berbanding enjin biasa.

Cuma persoalannya kini ialah adakah benar Kawasaki Ninja 250 akan dilengkapi enjin dua silinder dengan sistem supercharger? Berdasarkan teori di atas kertas, sememangnya penggunaan sistem supercharger akan membolehkan Ninja 250 menghasilkan kuasa yang lebih tinggi dalam tempoh yang singkat, yang pastinya akan mengatasi paras kuasa yang dihasilkan oleh enjin Honda CBR250RR dan Yamaha YZF-R25 versi 2017.

Apa yang boleh dikatakan, Kawasaki mungkin terdesak untuk terus menerajui segmen supersport dalam kelas 250cc mulai tahun hadapan, dan enggan mengaku kalah kepada Honda dan Yamaha. Jika perlu menggunakan supercharger, Kawasaki tentunya mahu menjadi pengeluar yang pertama menggunakan sistem induksi paksaan tersebut, seterusnya jauh meninggalkan Honda dan Yamaha untuk tempoh beberapa tahun akan datang.

Melihat kepada kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin Ninja 250 ketika ini, ianya adalah setinggi 32PS @ 11,000rpm dengan tork maksimum 21Nm @ 10,000rpm, manakala kuasa maksimum Yamaha YZF-R25 ialah 36PS @ 12,000rpm dengan tork maksimum 22.6Nm @ 10,000rpm. Kuasa enjin CBR250RR pula jauh mengatasi kuasa enjin Ninja 250, pada angka 38.7PS @ 12,500rpm dengan tork maksimum 23.3Nm @ 11,000rpm.

Jadi dapatlah difahami kenapa Kawasaki mahu menggunakan sistem supercharger pada enjin Ninja 250 2017, kerana untuk model semasa Ninja 250 ketika ini, kuasa enjinnya adalah yang paling kecil dan boleh dikatakan sudah ketinggalan. Kawasaki sudah tentu tidak mahu membiarkan perkara tersebut berpanjangan kerana selain mahu menjaga imej jenamanya, desakan daripada para peminat mereka di seluruh dunia kini semakin kuat dan ketara.

Sama ada benar Kawasaki Ninja 250 model tahun 2017 akan hadir dengan enjin 2-silinder yang dipadankan sistem supercharger, kemungkinan tentang perkara tersebut sememangnya boleh berlaku. Sebelum ini Kawasaki telah mengejutkan dunia permotoran dengan pelancaran Ninja H2 yang dilengkapi sistem supercharger, kali ini mungkin kejutan seterusnya akan dilakukan melalui model Ninja 250 pula. Kita tunggu kemunculannya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here