MPV kompak Proton Ertiga dilancarkan di pasaran Malaysia

0
450

mpv-proton-ertiga-001

Pada tahun 2016 ini, Proton boleh dikatakan telah melakukan kejutan apabila melancarkan sehingga 4 buah model terbaharu, iaitu Proton Persona, Proton Perdana, Proton Saga, dan akhir sekali ialah Proton Ertiga yang merupakan sebuah MPV kompak. Ini merupakan pencapaian yang signifikan buat Proton memandangkan jenama nasional tersebut sebelum ini bergelut untuk mencatatkan jumlah jualan yang baik di pasaran tempatan.

Adakah ini petanda bahawa Proton akan bangkit kembali dan merampas kedudukan sebagai pengeluar automotif nombor 1 di pasaran tempatan mengatasi pesaing terdekatnya Perodua? Melihat kepada sambutan pasaran terhadap model Persona dan Saga generasi baharu yang dilancarkan sebelum ini, ternyata Proton berada di landasan yang betul untuk mengulangi semula zaman kegemilangannya suatu ketika dahulu. Dengan pelancaran MPV kompak Proton Ertiga ini pula, ternyata inilah senjata baharu Proton yang dijangka melengkapkan barisan model kenderaan keluarannya. Cukuplah dengan Proton, rakyat Malaysia kini mempunyai pelbagai pilihan segmen kenderaan yang berbaloi untuk dimiliki.

Menyentuh mengenai model terbaharu Proton Ertiga, ianya dilancarkan secara rasmi pada tarikh 24 November 2016, dalam pilihan beberapa varian dengan harga jualan yang cukup menarik bermula dari RM58,800. Untuk anda yang masih mahu mendapatkan maklumat lebih lanjut, di sini penulis siarkan siaran akhbar rasmi mengenai pelancarannya, termasuk paparan gambar-gambar menarik di dalam galeri yang disediakan di bawah.

SIARAN AKHBAR: Proton Menutup Tirai 2016 Dengan Pelancaran Proton Ertiga – MPV Kompak EEV Pertama Di Malaysia

Shah Alam, 24 November 2016 – Demi mencapai komitmen dalam melancarkan 4 buah kereta pada tahun 2016, PROTON Holdings Bhd (“PROTON” atau “Syarikat”) secara rasmi melancarkan Proton Ertiga di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam, Selangor. Proton Ertiga ialah model keempat dan terakhir dilancarkan oleh Syarikat pada tahun ini. Majlis dirasmikan oleh YBhg Brigadier General (K) Tan Sri Dato’ Sri (Dr) Haji Mohd Khamil Jamil, Pengerusi DRB-HICOM.

Proton Ertiga ialah model pertama hasil kerjasama PROTON dan Suzuki Motor Corporation Japan. Ia didatangkan dalam 2 varian – Executive (manual [MT] dan automatik [AT]); dan Executive Plus (AT) dengan harga bermula dari RM58,800 – RM64,800 di Semenanjung Malaysia.

“Proton Ertiga ialah MPV kompak pertama Malaysia berstatus Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) yang disahkan oleh Institut Automotif Malaysia (MAI). Kereta famili dengan 6 tempat duduk ini dilengkapi enjin 1.4 VVT (pemasaan injap variabel) yang diperbuat daripada aluminium ringan untuk kedua-dua varian. Suntikan kuasa multipoin (MPI) menghasilkan penjimatan penggunaan bahan api pada 5.7L/100km bagi (MT) dan 6.0L/100km bagi (AT) mengikut Kitaran Pemanduan Eropah (New European Driving Cycle, NEDC) yang menggabungkan kedua-dua kitaran bandar dan luar bandar. Selain itu, teknologi drive-by-wire memantapkan lagi prestasi kereta untuk lebih responsif,” kata Dato’ Ahmad Fuaad Kenali, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.

“Anda akan dapat merasakan kehalusan kereta ini pada kelajuan 110km/h dan 2900 rpm di mana enjin agak senyap dan penyerapan bunyi jalan serta angin yang baik membuatkan pemanduan kereta lebih selesa kerana kesenyapan ketara dari segi tahap kebisingan, getaran dan kekasaran (NVH),” sambung Dato’ Fuaad.

Beliau menambah, “Bagi menepati cita rasa dinamik dan gaya hidup keluarga moden masa kini, Proton Ertiga bukan sahaja jimat minyak, malah kereta ini juga direka untuk menawarkan keluasan ruang dan keselesaan. Ventilasi penyaman udara yang luas di barisan kedua memastikan udara sampai sehingga ke barisan ketiga bersama ruang atas yang luas serta ruang letak kaki yang cukup selesa untuk menampung 2 orang dewasa. Tuil akses pintar dengan satu sentuhan pada kerusi barisan kedua membolehkan penumpang masuk atau keluar dengan cepat dan mudah ke barisan ketiga. Tempat duduk belakang boleh lipat bukan sekadar menyediakan kepelbagaian susunan tempat duduk, tetapi juga mewujudkan ruang kabin yang mencukupi untuk memuatkan barangan lebih muatan, di mana barisan kedua dan ketiga boleh dilipat untuk menampung ruang sehingga 735 liter.”

“Tambahan lagi, warna cerah dan hangat mewujudkan suasana mewah dan luas di dalam kabin. Tempat duduk diperbuat dari fabrik kalis air yang berkualiti tinggi untuk memastikan yang ianya bersih dan mudah dijaga,” ujar Dato’ Fuaad.

Dari segi dimensinya pula, Proton Ertiga memiliki panjang-4265mm, lebar-1695mm, tinggi-1685mm dan jarak roda-2740mm. Jarak dasar kereta pada 185mm membantu kereta meredah permukaan bentuk muka bumi tidak rata selain memberikan sudut pandangan tinggi buat pemandu. Sejajar dengan status EEV, saiz tangki yang mencukupi iaitu 45 liter membolehkan kereta ini bergerak lebih jauh.

Kedua-dua varian menawarkan keselesaan dan ciri-ciri selesa seperti konfigurasi kerusi gelongsor yang memberikan ruang mencukupi di tempat duduk yang ke-3, barisan kedua boleh dilipat secara 60:40, manakala barisan ketiga boleh dilipat 50:50, barisan kedua boleh direbahkan 45 darjah, perehat lengan di barisan kedua, pengarasan lampu depan dan 4 pembesar suara. Kereta ini juga didatangkan dengan stereng elektrik yang boleh dilaraskan, termasuk radio/CD/MP3 dan USB/jeki Pod.

Varian Executive Plus didatangkan dengan cermin sisi boleh lipat automatik, suis audio di stereng, 2 twiter, tambahan kepada 4 pembesar suara dan poket belakang kerusi bagi bahagian pemandu dan penumpang, signal belok di sebalik cermin sisi (OSRVM) dan pelaras ketinggian kerusi pemandu. Tambahan lagi, hendal pintu dalaman krom, kemasan krom pada lampu kabus serta cermin filem gelap menghasilkan rasa yang mewah.

Bagi ciri keselamatan pula, kedua-dua varian mendapat penarafan 4 bintang ASEAN NCAP dan dilengkapi dengan pelbagai ciri aktif dan pasif seperti ISOFIX dan pautan atas, 2 beg udara hadapan, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Agihan Brek Elektronik (EBD), tingkap kuasa boleh naik automatik dan anti-jepit (di bahagian pemandu), lampu kabus hadapan dan belakang, dan sensor undur.

Komen penulis: Selepas melihat apa yang ditawarkan oleh Proton Ertiga secara keseluruhannya, penulis berpendapat model ini sangat berbaloi untuk dimiliki. Harga yang ditetapkan pula tidaklah terlalu mahal, masih terjangkau untuk kebanyakan pembeli. Penulis kini berangan-angan untuk kembali memiliki kereta keluaran Proton. Apa yang berada di fikiran penulis ialah sama ada Proton Persona atau pun Proton Ertiga. Mungkin pada tahun 2017 akan datang penulis akan memandu kereta baharu berjenama Proton, insyaallah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here