EICMA 2016: Ducati 1299 Superleggera 2017 diperkenalkan

0
146

2017-ducati-1299-superleggera-002

Bermulanya pameran motosikal antarabangsa EICMA 2016 di Milan, Itali, pelbagai jenis model motosikal terbaharu akan dipamerkan oleh pengeluar dari seluruh dunia. Ducati tidak ketinggalan dalam mempamerkan hasil kerja inovatifnya yang terkini, melalui pengenalan model terbaharu Ducati 1299 Superleggera 2017, di samping model-model yang lain.

Menurut Ducati, 1299 Superleggera kini telah membawa dunia motosikal Supersport jalanan ke suatu tahap yang baharu dan tidak pernah didengar sebelum ini, apabila ianya dilengkapi dengan kerangka, lengan ayun, subkerangka dan roda (frame, swingarm, subframe and wheels), kesemuanya diperbuat daripada material ‘carbon fibre’ yang sangat ringan. Dikatakan tiada pengeluar lain yang pernah mengeluarkan motosikal versi kilang seperti mana yang diperkenalkan melalui model 1299 Superleggera ini. Oleh itu sangat mengagumkan apabila berat keseluruhannya (kerb weight) hanyalah 167 kilogram.

Selain itu, ‘fairing’ model berkenaan turut diperbuat daripada ‘carbon fibre’, melengkapi perwatakan sebenar model Supersport sporty yang kental dengan DNA perlumbaan itu. Melihat kepada bahagian sistem penjana kuasanya, 1299 Superleggera dikuasakan enjin Superquadro berkapasiti 1,285cc yang menghamburkan prestasi maksimum sehingga 215hp @ 11,000rpm dengan tork maksimum 146.5Nm @ 9,000rpm.

Apa yang menjadikan 1299 Superleggera ini lebih eksklusif ialah kehadiran pakej eletronik canggih terbaharu yang serba lengkap seperti 6D IMU (6-axis Inertial Measurement Unit), di samping sistem DPL (Ducati Power Launch) yang buat pertama kalinya diperkenalkan untuk Superbike Ducati melalui model ini, seterusnya turut menampilkan teknologi EBC (Engine Brake Control) seperti mana yang dapat dilihat pada versi sebelumnya.

Ducati 1299 Superleggera 2017 bukan saja eksklusif dari segi kejuruteraan, rangkaian teknologi dan prestasi yang dimilikinya, malah ianya turut eksklusif dari segi jumlah unit yang akan ditawarkan kepada pelanggan di seluruh dunia. Menurut pengeluarnya, hanya 500 unit motosikal ini akan dikeluarkan, dan ianya akan didatangkan bersama-sama ‘track kit’ yang merangkumi sistem ekzos perlumbaan titanium Akrapovic yang lengkap. Berkenaan harga, dilaporkan ianya mencapai paras USD80,000 untuk pasaran USA.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here