Suzuki Motor Indonesia akan memperkenalkan dua model terbaharu dengan enjin 150cc di IMOS 2016

0
75

suzuki-gsx-r125

Indonesia Motorcycle Show (IMOS) 2016 akan berlangsung pada 2 sehingga 6 November 2016, bertempat di Jakarta Convention Centre. Antara yang menarik di sana nanti ialah pengenalan dua model terbaharu daripada Suzuki Motor Indonesia, kedua-duanya dijangkakan berupa model Suzuki GSX-R150 dan Suzuki GSX-S150. 

Suzuki GSX-R150 seperti mana yang kita tahu, merupakan model dengan enjin 150cc yang tampil lengkap dengan ‘full fairing’, mirip model Suzuki GSX-R125 yang diperkenalkan di INTERMOT 2016 baru-baru ini. Manakala Suzuki GSX-S150 dikatakan versi ‘naked’ kepada model berkenaan yang juga dikuasakan oleh enjin bersesaran 150cc.

Setakat ini, Suzuki Motor Indonesia telah mengirimkan jemputan rasmi kepada pihak media dan blogger-blogger di sana, untuk menghadiri majlis pelancaran di gerai pameran mereka yang bakal diadakan pada tarikh 02hb. November 2016 (Rabu), pada jam 12.00 tengah hari. Model-model yang akan dilancarkan itu menurut Suzuki Motor Indonesia, bukan saja akan membuat kemunculan rasmi buat pertama kali di Indonesia, malah juga di dunia.

Menurut laporan awal, Suzuki GSX-R150 yang akan diperkenalkan nanti bakal menampilkan dua ciri tercanggih di dalam kelasnya, seperti sistem penghidup enjin tanpa kunci dan juga brek cakera dengan sistem ABS. Untuk lebih kepastian dan maklumat selanjutnya, sama-sama kita tunggu pengenalan kedua-dua model pada hari Rabu minggu depan.

Sumber: Laskar Suzuki Indonesia