Trak pikap Mercedes-Benz Concept X-Class diperkenalkan

0
92

mercedes-benz-concept-x-class-stylish-explorer-008

Mercedes-Benz Concept X-CLASS stylish explorer

Siapa sangka suatu hari nanti Mercedes-Benz akan turut memperkenalkan model trak pikap keluarannya sendiri. Namun itulah hakikatnya, pasaran automotif dunia yang berubah dan berkembang mengikut peredaran masa telah menyedarkan syarikat tersebut bahawa mereka harus menambah segmen kenderaan terbaharu untuk terus kekal bersaing.

Pada 25 Oktober 2016, Mercedes-Benz secara rasminya memperkenalkan model konsep untuk trak pikapnya, dikenali dengan nama Mercedes-Benz Concept X-Class. Dua varian diperkenalkan, masing-masing dengan nama Mercedes-Benz Concept X-CLASS stylish explorer dan Mercedes-Benz Concept X-CLASS powerful adventurer.

Menurut Mercedes, trak pikap pertama yang akan dikeluarkan itu bakal menjadi model premium yang mementingkan keselesaan, dinamik pemanduan, ciri-ciri keselamatan tertinggi, tampil serba boleh dengan keupayaan meredah laluan ‘off-road’ yang sukar, di samping padat dengan kelengkapan pelbagai teknologi terkini yang serba canggih.

mercedes-benz-concept-x-class-powerful-adventurer-005

Mercedes-Benz Concept X-CLASS powerful adventurer

Setakat ini Mercedes-Benz menetapkan tarikh pelancaran model ini pada penghujung tahun 2017, di bawah nama Mercedes-Benz X-Class. Pasaran utamanya antaranya ialah Argentina, Brazil, Afrika Selatan, Australia, New Zealand, dan sudah semestinya pasaran Eropah. Untuk makluman anda, trak pikap pertama keluaran Mercedes ini dibangunkan dengan kerjasama Renault-Nissan Alliance, mungkin untuk menjimatkan kos.

Berkenaan harga, Mercedes mengatakan ianya akan ditetapkan pada harga jualan yang menarik. Dengan pengumuman ini, peminat-peminat segmen trak pikap yang selama ini tertunggu-tunggu kedatangan model premium daripada jenama sehebat Mercedes, pastinya gembira dan bersedia untuk memilikinya sejurus ianya dilancarkan.