Kuasa sebenar enjin Honda CBR250RR 2017 didedahkan, hanya lebih sedikit berbanding Yamaha YZF-R25

0
158

marc-marquez-honda-cbr250rr-event

Sejak ianya diperkenalkan di pasaran Indonesia pada bulan Julai 2016 yang lalu, ramai yang menjangkakan Honda CBR250RR 2017 serba baharu akan tampil dengan kuasa enjin yang lebih berprestasi, dalam erti kata lain akan mengatasi pesaingnya secara signifikan. Pada pendapat ramai, sudah tentu Honda akan mengambil peluang untuk melakukan kejutan.

Kelmarin sempena dengan program khas bersama-sama juara MotoGP 2016, Marc Marquez, di Litar Sentul, Indonesia, maka rahsia yang tersimpan rapi selama ini mengenai kuasa enjin CBR250RR 2017 telah didedahkan kepada umum. Adakah pesaing-pesaingnya akan jauh ketinggalan apabila melihat angka-angka kuasa dan tork CBR250RR?

marc-marquez-honda-cbr250rr-test-ride

Nampaknya ianya tidak berlaku, malah tidak juga mengejutkan. Berdasarkan imej dari lampiran ‘brochure’ yang disiarkan oleh blogger-blogger dari seberang, kuasa maksimum enjin Honda CBR250RR 2017 berada pada tahap 36.8PS @ 12,500rpm, dengan tork maksimum 22.5Nm @ 10,500rpm. Kelajuan maksimumnya pula dikatakan 170 km/j (GPS).

Sebagai perbandingan, kuasa maksimum enjin Yamaha YZF-R25 ialah 36PS @ 12,000rpm, dengan tork maksimumnya mencapai 22.6Nm @ 10,000rpm. Jadi, itulah dia prestasi sebenar enjin Honda CBR250RR 2017. Perbezaannya dengan enjin Yamaha YZF-R25 tidak terlalu jauh, malah dibezakan hanya dengan angka 0.8PS sahaja.

2017-honda-cbr250rr-brochure

Bagaimanapun, harus diakui bahawa spesifikasi dan ciri-ciri lain yang melengkapi CBR250RR adalah lebih premium berbanding ciri-ciri yang melengkapi YZF-R25. Prestasi keseluruhan bukan hanya bergantung kepada kuasa enjin semata-mata. Bagaimanapun, apa pendapat anda setelah mengetahui prestasi sebenar enjin CBR250RR 2017 ini?

Sumber: Kobayogas.com