Team Classic Suzuki bina jentera perlumbaan ‘endurance’ klasik GSX1100SD Katana

0
88

team-classic-suzuki-katana

Suzuki GB PLC (Suzuki Motorcycles UK) baru-baru ini telah mengumumkan bahawa mereka dengan kerjasama Team Classic Suzuki akan mempamerkan jentera perlumbaan klasik Suzuki GSX1100SD Katana, bertempat di pameran Motorcycle Live 2016 yang akan berlangsung di Birmingham dari 19 sehingga 27 November 2016.

Model legenda Suzuki yang terkenal itu akan mengambil bahagian dalam perlumbaan jentera klasik Endurance Legends di Donington Park, UK pada bulan Mei tahun depan, dalam perlumbaan ‘endurance’ selama 4 jam tanpa henti. Dengan sokongan dari ‘Suzuki’s Vintage Parts Programme’, pasukan tersebut akan dibarisi oleh tiga orang penunggang berpengalaman menggunakan mesin GSX1100SD Katana yang telah dibaik pulih semula secara ekstensif.

Menurut Suzuki, ini merupakan model klasik ketiga mereka yang mengambil tempat di Motorcycle Live, selepas model pertama TL1000S dan model kedua GSX-R750 edisi ulangtahun ke-30 yang diperkenalkan pada tahun lepas. Suzuki mengharapkan jentera klasik edisi perlumbaan mereka ini akan mencapai kejayaan dalam perlumbaan klasik tahun depan, yang mana siri perlumbaan jentera klasik kini kian berkembang dan semakin popular.

Menurut Suzuki lagi, GSX1100SD Katana edisi perlumbaan ‘endurance’ klasik ini dibina secara ‘hand-built’ dan menggunakan banyak peralatan dan alat ganti dari ‘Vintage Parts Programme’. Di samping itu, ianya juga menggunakan banyak komponen-komponen dan alat ganti berprestasi khusus untuk menghadapi saingan di litar yang serba mencabar nanti.