Rebat sebanyak RM4,000.00 untuk Proton Iriz, khusus untuk pemandu Uber dan Grab

0
223

proton-iriz

Dalam pembentangan Bajet 2017 pada hari Jumaat yang lepas, Perdana Menteri telah membuat kejutan apabila mengumumkan bahawa pihak kerajaan akan memberikan insentif menarik untuk rakyat Malaysia yang berminat untuk menambah pendapatan sebagai pemandu Uber dan Grab.

Insentif yang akan diberikan itu berupa rebat sebanyak RM4,000.00 untuk pembelian model Proton Iriz, untuk individu yang membeli kereta tersebut sebagai sebahagian daripada rancangan mereka untuk menjadi pemandu perkhidmatan perkongsian perjalanan (ride-sharing) yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat seperti Uber dan Grab.

Melalui siaran akhbar rasmi yang diterbitkan sebagai maklum balas terhadap pengumuman Bajet 2017, Proton telah mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana mempunyai objektif yang jelas untuk menyokong syarikat kereta nasional, seterusnya merangsang industri automotif dan menyediakan pertumbuhan ketara, serta membuka peluang ekonomi yang lebih luas.

Tambah Proton lagi, syarikat tersebut teruja untuk menjadi sebahagian daripada industri perkongsian perjalanan kerana langkah itu dilihat sebagai visi untuk memacu Malaysia ke hadapan melalui inovasi teknologi dan mewujudkan peluang ekonomi bagi ramai rakyat di negara ini.

Jadi untuk anda yang mungkin berminat mencari pendapatan tambahan sebagai pemandu Uber atau Grab, jangan lepaskan peluang ini untuk membeli kereta baharu Proton Iriz dengan bantuan rebat sebanyak RM4,000.00. Rasanya jumlah tersebut cukup untuk digunakan sebagai bayaran pendahuluan.