Permohonan maaf daripada Racal kerana meniru rekaan model Yamaha Sniper dan Yamaha Mio Soul

0
167

racal-public-apology

Agak menarik berita yang dilaporkan oleh laman blog MotorcyclePhilippines.com ini, kerana isu yang dibangkitkan mempunyai persamaan dengan apa yang berlaku di Malaysia. Alkisahnya, Racal Motor Sales Corporation telah memohon maaf kepada Yamaha kerana mengeluarkan dua buah model motosikal yang mempunyai rekaan mirip dua model motosikal keluaran Yamaha.

Kedua-dua model motosikal yang dikeluarkan oleh Racal itu dikenali dengan nama MD110 dan JR125, yang mana MD110 telah mengambil rekaan model Yamaha Sniper, manakala JR125 mengambil rekaan Yamaha Mio Soul. Jadi pihak Yamaha telah mengambil tindakan dari segi perundangan terhadap Racal, kerana rekaan kedua-dua model keluarannya Sniper dan Mio Soul telah dipatenkan di Filipina.

Jadi pengeluaran model MD110 dan JR125 oleh Racal secara terang-terangan telah menjadi satu kesalahan kerana melanggar hak paten yang dimiliki oleh Yamaha. Bagaimanapun kes tersebut telah selesai apabila Racal secara rasminya telah membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Yamaha, dan berjanji tidak akan mengeluarkan atau menjual lagi kedua-dua model MD110 dan JR125.

Isu seperti ini sebenarnya pernah ditanya kepada penulis kenapa beberapa buah model motosikal yang dijual di pasaran tempatan mempunyai rekaan yang sama dengan jenama pengeluar motosikal yang lain. Penulis tiada jawapan terhadap persoalan tersebut sebenarnya. Namun apa yang berlaku di antara Racal Motor Sales Corporation dan Yamaha Filipina ini mungkin boleh memberikan sedikit penjelasan.