Model moped Modenas 150cc serba baharu mungkin akan dilancarkan selepas pertengahan tahun 2017

0
397

modenas

Gambar di atas hanya hiasan semata-mata..

Di pasaran tempatan ketika ini, terdapat tiga buah model moped dalam kategori 150cc yang ditawarkan, iaitu Suzuki Belang R150, Yamaha Y15ZR dan model paling terkini yang dilancarkan di pasaran baru-baru ini – Honda RS150R.

Di antara ketiga-tiga model tersebut, Yamaha Y15ZR menjadi model terlaris disebabkan reka bentuknya yang menarik, manakala pasaran Suzuki Belang R150 menjadi semakin ‘sejuk’ setelah Suzuki menutup kilangnya di Prai, Pulau Pinang pada September 2016.

Prestasi jualan Honda RS150R pula boleh dikatakan agak memuaskan berdasarkan pemerhatian, namun masih terlalu awal untuk melihat setakat mana kemampuannya dalam memberikan saingan sebenar terhadap Yamaha Y15ZR.

Tidak dapat dinafikan, kemunculan ketiga-tiga model motosikal dengan enjin bersesaran 150cc itu telah menjadikan suasana permotoran dalam segmen kapchai @ moped atau underbone di negara kita semakin meriah.

Para peminat kini mempunyai pilihan untuk memiliki sebuah moped yang lebih berkuasa dengan enjin yang lebih besar, dan tidak perlu lagi bergantung kepada model-model terdahulu yang hanya mempunyai enjin di antara 100cc sehingga 135cc.

Namun begitu, suasana kemeriahan yang dibawakan oleh Suzuki, Yamaha dan Honda dirasakan seolah-olah agak kurang bermakna, selagi ianya tidak disertai oleh pengeluar motosikal berjenama tempatan yang sangat dekat di hati – Modenas.

Sehingga kini, ramai peminat dunia pemotoran tempatan di Malaysia masih ternanti-nantikan bilakah agaknya Modenas akan melancarkan model terbaharunya dalam segmen 150cc.

Ianya bukan sekadar minat semata-mata, malah telah menjadi harapan yang disulami oleh semangat patriotik yang sangat kuat untuk melihat kebangkitan jenama tempatan.

Sudah terbukti bahawa Modenas sejak lebih setahun yang lepas sedang membangunkan model terbaharunya dalam kelas moped 150cc, namun agak menggusarkan apabila perkembangan projek tersebut menjadi semakin senyap dari sehari ke sehari.

Bagaimanapun, mujurlah terdapat maklumat terkini yang diperolehi dari sumber dalaman baru-baru ini, bahawa pembangunan model 150cc berkuasa itu sedang berjalan dengan baik, namun terdapat beberapa perubahan teknikal yang perlu dilakukan.

Ini menyebabkan jangkaan sebelum ini bahawa Modenas 150cc bakal dilancarkan pada suku pertama tahun 2017, terpaksa diubah ke tarikh yang baru, paling awal pada pertengahan tahun, atau mungkin akan dibawa ke dalam tempoh suku ketiga 2017.

Walaupun agak kecewa kerana perlu menunggu lebih lama, sekurang-kurangnya berita ini memberi harapan bahawa Modenas tidak menyerah kalah dalam membangunkan model moped 150cc pertamanya, dan berani untuk menguji pasaran tidak lama lagi.

Apa yang boleh dikatakan, sehebat mana pun prestasi Yamaha Y15ZR dan Honda RS150R yang semakin panas jualannya di pasaran semasa, kedua-duanya akan menghadapi saingan yang sangat sengit dari Modenas 150cc.

Percayalah, maklumat yang diperolehi menunjukkan reka bentuk Modenas 150cc serba baharu ini sangat menarik dan sporty, lebih -lebih lagi dengan prestasinya yang dikatakan bakal membuatkan pesaingnya tertinggal di belakang.

Sehingga itu, kita hanya perlu menunggu dan memberi masa yang secukupnya kepada Modenas untuk membuktikan kepada dunia bahawa anak tempatan boleh. Modenas 150cc pencabar Yamaha Y15ZR dan Honda RS150R akan muncul jua, nantikan.