Honda umum pembukaan laman sesawang “Honda Moto 2017”, untuk mempromosikan 6 model terbaharu keluaran tahun 2017

0
148

honda-moto-2017

Sesuatu yang menarik dari Honda baru saja bermula. Honda kelmarin secara rasminya mengumumkan pembukaan laman sesawang terbaharu yang diberi nama “Honda Moto 2017”, yang mana menurut Honda ianya adalah “global communication website” bagi mempromosikan model motosikal bersaiz besar keluarannya bagi tahun 2017.

Laman sesawang “Honda Moto 2017” akan memperkenalkan enam model terpilih daripada barisan model tahun 2017, melalui tayangan dalam format filem pendek. Filem pendek tersebut akan mempertontonkan gaya hidup unik melalui interaksi di antara watak pelakon dengan motosikal mereka. Dengan menawarkan gaya hidup bermotosikal, Honda mengatakan mereka mampu memberikan idea-idea yang lebih khusus mengenai produk mereka kepada pelanggan, seterusnya meningkatkan lagi jenama tersebut.

Menurut Honda lagi, paparan penuh laman sesawang “Honda Moto 2017” boleh disaksikan mulai 4 Oktober 2016, pada hari yang sama bermulanya pameran motosikal Intermot 2016 di Cologne, Jerman, yang kemudiannya diikuti oleh pameran motosikal EICMA 2016 (Milan, Itali) dan IMS Long Beach (California, USA). Laman sesawang “Honda Moto 2017” akan tersedia dalam 13 bahasa, apabila ianya dibuka secara rasmi pada 4 Oktober nanti.

Untuk melihat sendiri model apakah yang bakal dipersembahkan oleh Honda bagi barisan model tahun 2017 keluarannya, anda boleh layari sendiri laman sesawang tersebut di sini: “Honda Moto 2017”. Dua model yang dijangka akan diperkenalkan secara rasmi nanti sudah tentu skuter kembara Honda X-ADV dan Honda CBR1000RR 2017.