Porsche Macan Turbo Performance Package lebih berkuasa

0
79

macan-turbo-with-performance-package-001

Pada penghujung Ogos 2016 yang lepas, Porsche Cars North America, Inc. (PCNA) telah memperkenalkan varian terbaharu Macan Turbo Performance Package, menjadikannya sebagai varian teratas di kalangan model Macan sedia ada. Model terbabit telah menerima peningkatan dari segi kuasa dan pengendalian, termasuk pakej interior eksklusif.

Enjin 3.6 liter V6 untuk Macan Turbo Performance Package telah ditala semula, menghasilkan prestasi sehingga 440hp, peningkatan sebanyak 40hp berbanding enjin yang melengkapi varian Macan Turbo. Enjin tersebut kini mampu memecut dari 0 – 60 mph dalam tempoh 4.2 saat (pengurangan sebanyak 0.2 saat), dan mencecah kelajuan maksimum 169 mph (peningkatan 5 mph). Tork maksimum juga telah mengalami peningkatan kepada angka 442 lb.-ft. (peningkatan 36 lb.-ft.) pada putaran enjin di antara 1,500 – 4,500 rpm.

Bagaimanapun, ianya bukan sekadar hanya kuasa enjin yang mengalami lonjakan bagi varian terbaharu Macan Turbo Performance Package ini, malah turut dilengkapi dengan sistem brek yang dibina semula, casis sport yang direndahkan, Sport Chrono Package, dan sistem ekzos sport yang kesemuanya didatangkan sebagai spesifikasi standard.

Sebagai tambahan, sistem Porsche Active Suspension Management (PASM) dengan suspensi udara turut boleh dikendalikan dengan hanya menekan butang bagi menyampaikan rasa pemanduan yang sangat sporty. Harga jualan yang ditawarkan ialah sebanyak $86,445, sekitar RM356,998.48 berdasarkan kadar tukaran mata wang asing semasa.