Khabar angin: Kawasaki Ninja ZX-25R (2017) 4-silinder kini dalam fasa ujian, disebut-sebut bakal dilancarkan pada tahun depan

0
2674

2017 Kawasaki Ninja 250 4-Cylinder (005)

Sebelum anda membaca lebih jauh, penulis maklumkan di sini bahawa Kawasaki sebelum ini tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi kepada umum sama ada secara bertulis atau pun lisan (setakat yang penulis tahu ketika ini), bahawa mereka sedang membangunkan model terbaharu Kawasaki Ninja 250 dengan enjin 4-silinder. 

Bagaimanapun, itu semua tidak menghalang para blogger automotif di seluruh dunia untuk terus berbicara mengenai kemungkinan wujudnya model tersebut, apatah lagi terdapat beberapa bukti berupa gambar-gambar ‘spyshot’ dan maklumat-maklumat terkini yang boleh dipercayai dengan kuat bahawa Kawasaki Ninja 250 4-silinder sememangnya wujud.

Setakat hari ini, Kawasaki Ninja 250 dengan enjin 4-silinder yang diperkatakan itu telah diberi nama panggilan awal iaitu Kawasaki Ninja ZX-25R model tahun 2017, memandangkan ianya disebut-sebut akan dilancarkan dalam tahun depan. Ini bermakna pada tahun 2017 nanti, Kawasaki akan menawarkan tiga model Ninja 250 di pasaran, yang mana ianya termasuk dua model sedia ada iaitu Kawasaki Ninja 250 SL (Single-Cylinder) dan Kawasaki Ninja 250 (Two-Cylinder), dengan tambahan terbaharu Kawasaki Ninja ZX-25R (Four-Cylinder).

Rakan blogger TMCBlog.com dan Warungasep.net dari negara jiran Indonesia sebelum ini pernah menyiarkan imej-imej yang dipercayai menunjukkan gambaran sebenar Kawasaki Ninja 250 4-silinder, malah majalah permotoran terkenal Young Machine dari Jepun juga telah melakukan lakaran model Ninja 250 terbaharu yang dipercayai sebagai model dengan enjin 4-silinder. Lebih jauh lagi, dikhabarkan unit-unit ujian Ninja 250 4-silinder telah pun diuji di Litar Sentul, Indonesia sebelum ini untuk mendapatkan maklum balas daripada penunggang-penunggang yang terdiri daripada peminat tegar Kawasaki.

Dari segi teknikalnya, dikatakan Kawasaki Ninja 250 4-silinder 2017 akan dilengkapi dengan pelbagai sistem dan ciri-ciri berteknologi tinggi, antaranya termasuklah suspensi depan USD, lengan ayun belakang aluminium dengan suspensi tunggal ‘monoshock’ boleh laras, di samping sistem penyejuk cecair (liquid-cooled) dan enjin DOHC yang menghamburkan kuasa setinggi 40hp @ 12,000rpm dan tork maksimum 30Nm @ 9,000rpm.

Apabila dilancarkan nanti, Kawasaki Ninja 250 4-silinder ini merupakan satu-satunya model di dalam kelas 250cc yang dilengkapi enjin 4-silinder, jauh mengatasi pesaingnya seperti Honda CBR250RR 2017 serba baharu. Sama seperti CBR250RR 2017, Ninja 250 4-silinder 2017 juga dibangunkan sebagai sebuah model berprestasi, berada pada tahap lebih atas berbanding Ninja 250 dan Ninja 300 yang hanya dilengkapi enjin 2-silinder.

Untuk anda yang mungkin belum tahu, sekitar tahun-tahun 1990-an dahulu Kawasaki ZX2R atau juga dikenali dengan nama Kawasaki ZXR-250 telah pun muncul dengan enjin 250cc 4-silinder, dan ianya pernah menjadi raja jalanan di pasaran Malaysia suatu ketika dahulu. Bagaimanapun terdapat beberapa isu mengenai daya ketahanan enjin dan kos penyelenggaraan model 250cc 4-lejang itu yang dikatakan agak cerewet.

Kesimpulannya, tahap kepercayaan untuk melihat kemunculan model terbaharu Kawasaki Ninja 250cc 4-silinder ke pasaran dunia pada tahun depan (boleh jadi juga pada akhir tahun 2016 ini) adalah tinggi. Jika ianya adalah perlu untuk terus mendominasi pasaran motosikal supersport dalam kelas 250cc, mengapa tidak berada selangkah di hadapan pesaing-pesaing yang lain? Mungkin itulah yang berada di fikiran Kawasaki ketika ini.

Sumber: TMCBlog.com, Warungasep.net, Motorblast.org & Young Machine FB