Yamaha F1ZR model keluaran tahun 2004

0
1941

F1Z R

Salah sebuah model kapchai yang mempunyai pengaruh begitu kuat di pasaran Malaysia sekitar tahun-tahun 1990-an dahulu ialah Yamaha 110SS. Ianya menjadi idaman semua remaja dan anak muda pada ketika itu, kerana reka bentuknya yang sporty di samping kekuatan dan kelajuan enjinnya yang boleh dikatakan sangat mengujakan. 

Legasi Yamaha 110SS kemudiannya diteruskan oleh model Yamaha SS Two Racing Spirit yang hadir dengan ciri-ciri lebih menarik berteraskan perlumbaan, di samping memiliki kelajuan maksimum yang lebih tinggi. Populariti Yamaha 110SS dan Yamaha SS Two Racing Spirit pada zamannya sebenarnya turut dirasai di negara jiran Indonesia.

Untuk pasaran Indonesia, ianya dikenali dengan nama Yamaha F1ZR yang dikeluarkan sekitar tahun 1992 sehingga pengeluaran terakhir pada tahun 2004. Empat keping gambar Yamaha F1ZR yang boleh dilihat di sini ialah model keluaran tahun 2004, dalam dua versi iaitu versi ‘Full Clutch’ dan versi ‘Sport’ (perhatikan perbezaan rim rodanya).

Sedikit maklumat mengenai spesifikasinya, Yamaha F1ZR dilengkapi enjin dua lejang bersesaran 110cc, disertai silinder jenis tunggal dan sistem penyejuk jenis udara. Model tersebut turut dilengkapi kotak gear 4-kelajuan bersama-sama sistem brek jenis cakera di bahagian roda depan dan sistem brek jenis dram di bahagian roda belakang.