Honda CBR250RR 2017 buat kemunculan perdana di Indonesia

0
356

2017 All-New Honda CBR250RR (002)

PT Astra Honda Motor, syarikat yang menjalinkan kerjasama antara Honda Motor Co., Ltd. Jepun, hari ini secara rasminya mengumumkan kemunculan perdana (world premiere) motosikal yang dinanti-nantikan – Honda CBR250RR 2017 serba baharu.

Model tersebut akan dipasang di Indonesia yang merupakan pasaran utamanya, menjadikannya sebagai model Honda yang mempunyai kapasiti enjin paling besar pernah dikeluarkan dari negara itu. Jualannya di pasaran Indonesia dirancang bermula dari penghujung tahun 2016 ini.

Berdasarkan siaran akhbar yang diterbitkan oleh Honda Motor Co., Ltd., Honda CBR250RR 2017 dikuasakan oleh enjin bersesaran 250cc yang dibangunkan serba baharu (newly developed water-cooled 4-stroke 4-valve straight-twin DOHC 250cc engine), yang menetapkan sasaran untuk menjadi peneraju di dalam kelasnya dari segi prestasi.

Enjin tersebut dikatakan mudah untuk dikendalikan dalam persekitaran bandar (urban riding), serta cukup selesa apabila ditunggang di litar dengan perwatakan pengeluaran kuasa yang lancar pada setiap putaran enjin keseluruhan. Sebagai tambahan, sistem ‘Throttle-by-Wire’ (TBW) dan mod tetapan enjin 3-cara telah membolehkan penunggang meneroka keluaran kuasa ‘linear’ tanpa batasan, untuk pecutan yang lebih tinggi dan mengujakan.

Dari segi rekaannya, Honda CBR250RR 2017 serba baharu ini menampilkan identiti daripada siri model CBR dengan lampu depan dwi-LED, seterusnya meningkatkan imejnya yang kuat, pantas dan semestinya sangat menarik. Tidak keterlaluan jika dikatakan imej depannya telah menghadirkan rasa kagum kepada sesiapa sahaja yang memerhatinya.

Honda CBR250RR 2017 turut diperkenalkan dengan sistem kerangka dan suspensi yang dibangunkan baharu (newly designed steel pipe truss frame), kedua-duanya memberikan kekuatan dan fleksibiliti yang diperlukan oleh jentera sepertinya. Ianya turut didatangkan dengan lengan ayun aluminium bersama-sama sepasang ‘fork’ depan terbalik yang kukuh, dan juga suspensi Pro-link (Pro-link suspension featuring 5-step preload for the rear).

Untuk sistem brek, Honda CBR250RR 2017 serba baharu didatangkan dengan sistem brek ABS di bahagian depan dan belakang (untuk model ABS). Ianya kemudian disempurnakan oleh brek cakera berukuran 310mm di bahagian depan dan 240mm di bahagian belakang, yang memberikannya pemberhentian maksimum dan cemerlang.

Untuk pasaran Indonesia, Honda CBR250RR 2017 akan ditawarkan dalam dua versi iaitu STD (Standard) dan ABS, dengan tiga pilihan warna yang menarik seperti ‘Honda Racing Red’, ‘Anchor Graymetallic’ dan ‘Mat Gunpowder Black Metallic’.

Berkenaan harga, laman sesawang rasmi PT Astra Honda Motor masih belum memaparkan senarai harga rasmi yang sebenar, namun berdasarkan sumber dari sahabat blogger TMCBlog.com, harga untuk model Standard didakwa dalam lingkungan Rp 63 ke Rp 68 juta, manakala untuk model ABS, harganya sekitar Rp 69 ke Rp 70 juta.

Berdasarkan harga awal yang masih belum dimuktamadkan itu, nilainya di dalam Ringgit Malaysia adalah sekitar RM19k ke RM21k untuk model Standard, dan sekitar RM21.3k ke RM21.7k untuk model ABS. Bagaimanapun untuk pasaran Malaysia nanti, harganya mungkin lebih tinggi berdasarkan kiraan cukai semasa termasuk GST yang telah ditetapkan.