Pelumba muda negara, Khairul Idham Pawi (Super KIP) muncul juara kategori Moto3 di Litar Sachsenring, Jerman

0
114

Khairul Idham Pawi Juara Moto3 Jerman

Pelumba muda negara yang kian meningkat naik, Khairul Idham Pawi yang juga digelar ‘Super KIP’, hari ini sekali lagi membuktikan kemampuannya dalam perlumbaan MotoGP (GoPro Motorrad Grand Prix Deutschland) yang berlangsung di Litar Sachsenring, Jerman, apabila merangkul kejuaraan dalam kategori Moto3 dengan penuh bergaya.

Perlumbaan berlangsung dalam suasana litar yang basah dan ini ternyata memberi kelebihan kepada Super KIP untuk terus mendominasi perlumbaan sehingga ke garisan penamat, walaupun beliau bermula dari petak yang ke-20. Dalam perlumbaan tersebut, Khairul Idham Pawi daripada pasukan Honda Team Asia menewaskan dua pelumba Itali, Andrea Locatelli dari pasukan Leopard Racing yang berada di kedudukan kedua dan Enea Bastianini dari pasukan Gresini Racing Moto3 yang hanya mampu berpuas hati di tempat ketiga.

Kejayaan Khairul Idham Pawi di Jerman kali ini mengulangi kejayaan sulongnya dalam perlumbaan MotoGP Gran Premio Motul de la República Argentina yang berlangsung di Litar The Termas de Río Hondo Circuit pada 3 April 2016 yang lalu (juga dalam keadaan litar yang basah, menyebabkannya diberi gelaran Raja Litar Basah). Beliau kini mencatat sejarah sebagai pelumba Malaysia pertama yang memenangi perlumbaan pada peringkat MotoGP, sesuatu yang dirasakan amat mustahil untuk dilakukan sebelum ini.

Kedudukan Khairul Idham Pawi ketika ini dalam kategori Moto3 ialah di tempat yang ke-10, dengan mengumpul sebanyak 54 mata. Perjuangan beliau akan diteruskan lagi dalam baki sembilan perlumbaan, dan paling dinanti-nantikan ialah perlumbaan yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada bulan Oktober 2016 akan datang. Sama-samalah kita mendoakan kejayaan pelumba muda negara ini untuk terus mengharumkan nama negara.

Sumber: MotoGP.com