Nissan memperkenalkan MPV Serena 2017 serba baharu, akan dijual di pasaran Jepun mulai penghujung Ogos 2016

0
388

All-New Nissan Serena 2017 (010)

Nissan baru-baru ini telah memperkenalkan Serena 2017 serba baharu, yang dijadualkan penjualannya di pasaran Jepun mulai penghujung Ogos tahun ini. Merupakan generasi kelima, MPV Nissan Serena muncul buat pertama kali pada tahun 1991, dan menjadi salah sebuah kenderaan keluarga yang terkenal di pasaran domestik Jepun.

Menurut Nissan, versi terkini Serena 2017 serba baharu tampil lebih berevolusi dengan rekaan terbarunya yang lebih matang dan segar, berperwatakan lebih menarik di bahagian luaran dan dalaman, di samping dilengkapi dengan pelbagai jenis fungsi terbaru yang bakal menarik perhatian lebih ramai peminat MPV generasi baharu masa kini.

Serena 2017 serba baharu turut dilengkapi dengan teknologi-teknologi keselamatan terkini, antaranya termasuklah ‘Emergency Braking System’, ‘Lane Departure Warning’, ‘Around View Monitor’ dan ‘Smart Rearview Mirror’. MPV terbabit turut didatangkan dengan teknologi ‘Intelligent Park Assist’, iaitu sistem meletak kereta automatik yang mudah digunakan yang sebelum ini diperkenalkan buat pertama kali untuk SUV Nissan X-TRAIL.

Dan antara teknologi tercanggih yang melakukan debut melalui Serena 2017 ini ialah teknologi pemanduan autonomi (autonomous drive technology) milik Nissan, dikenali dengan nama ProPILOT, yang mana ianya secara automatik akan mengawal pecutan, brek dan stereng apabila dipandu di atas lebuh raya, dalam keadaan trafik sesak atau pun tidak.

Serena 2017 serba baharu akan meneruskan varian popular S-Hybrid yang ditawarkan melalui model semasa ketika ini, bersama-sama peningkatan lebih terperinci di bahagian enjin yang seterusnya memberikan penjimatan bahan api lebih baik. Menurut Nissan lagi, setiap peningkatan yang dilakukan tidak mengorbankan ruang dalamannya yang luas.