Ducati mempersembahkan 1299 Panigale S Anniversario

0
390

Ducati 1299 Panigale S Anniversario (001)

Pada awal Julai yang lalu, Ducati telah memperkenalkan sebuah model istimewa bernama 1299 Panigale S Anniversario. Model tersebut secara rasminya menandakan sambutan ulangtahun kali ke-90 buat syarikat yang berpengkalan di Bologna, Itali itu, dan dipersembahkan kepada para pengunjung sewaktu acara ‘World Ducati Week 2016’ yang berlangsung dari 1 – 3 Julai di Litar Misano (“Marco Simoncelli” Misano World Circuit).

Ducati 1299 Panigale S Anniversario merupakan model edisi terhad, hanya 500 unit akan dikeluarkan dengan menampilkan skim warna terbaharu dan kandungan teknikal terkini. Warna-warna yang dipadankan untuk model terbabit diinspirasikan daripada jentera perlumbaan Ducati, yang mana ianya merangkumi warna putih, hitam dan merah yang kemudiannya disempurnakan oleh padanan rim roda istimewa berwarna emas.

Aspek sistem penjana kuasanya memperlihatkan ianya dilengkapi enjin bersesaran 1,285cc (Superquadro L-Twin, 4 Desmodromically actuated valves per cylinder, liquid cooled) yang menghasilkan kuasa maksimum 205hp @ 10,500rpm dengan tork puncak setinggi 144.6Nm @ 8,750rpm. Enjin berprestasi tinggi itu seterusnya digandingkan dengan kotak gear enam kelajuan yang lancar dan responsif (6 speed with DQS Ducati Quick Shift up/down).

Menurut Ducati, 1299 Panigale S Anniversario bakal didapati di bilik pameran wakil penjual Ducati tidak lama lagi bergantung kepada pasaran negara mana ianya ditawarkan.