MMM memperkenalkan Mitsubishi ASX Orange Edition

0
96

Mitsubishi ASX Orange Edition (001)

Pada 24 Jun 2016, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), pengedar rasmi kenderaan berjenama Mitsubishi di pasaran Malaysia, secara rasminya memperkenalkan Mitsubishi ASX Orange Edition. Model edisi istimewa itu hanya tersedia dalam jumlah terhad 180 unit dan boleh dimiliki pada harga RM132,900.19 (tidak termasuk insuran, termasuk GST untuk pendaftaran individu di Semenanjung Malaysia). Mitsubishi ASX Orange Edition tampil dalam warna putih dan didatangkan dengan pakej jaminan selama 5 tahun.

Mitsubishi ASX merupakan sebuah SUV kompak yang dikuasakan enjin 2.0 liter MIVEC dengan keluaran kuasa 150PS dan tork maksimum 197Nm. Sistem transmisi INVECS-III CVT (Continuous Variable Transmission) yang digandingkan dengan enjin tersebut bersama-sama ciri ‘Sports Mode’ membolehkan model tersebut melakukan pecutan yang lebih baik. Harga ASX untuk varian 2WD GL ialah RM105,744.31, manakala varian 2WD berharga sebanyak RM115,468.71 dan varian teratas ASX 4WD berharga RM129,010.43 (tidak termasuk insuran, termasuk GST untuk pendaftaran individu di Semenanjung Malaysia).

Untuk keselamatan, Mitsubishi ASX didatangkan dengan 7 beg udara, sistem brek ABS (Anti-lock Braking System) dan EBD (Electronic Brake Distribution) sebagai ciri-ciri standard, manakala varian 4WD ditambah sistem ‘All Wheel Control 4WD’, ASC (Active Stability Control), ‘Traction Control’ dan HSA (Hill Start Assist). Mitsubishi ASX untuk pasaran Malaysia merupakan model pemasangan tempatan, sementara model-model lain seperti sedan kompak Attrage, SUV Pajero Sport dan trak pikap Triton diimport dari Thailand. Bagi model sedan Lancer dan SUV Outlander, ianya diimport dari negara asalnya Jepun.