Honda CBR150R 2016 – bakal dilancarkan di pasaran Malaysia?

0
9545

2016 Honda CBR150R (015)

Salah satu soalan yang sering penulis terima sejak beberapa bulan yang lalu ialah sama ada model terbaharu Honda CBR150R 2016 akan dilancarkan di pasaran Malaysia. Setakat ini penulis sendiri tiada jawapan untuk soalan tersebut, memandangkan tiada langsung sebarang petunjuk yang diberikan oleh pihak Boon Siew Honda Sdn. Bhd.

Honda CBR150R 2016 dilancarkan secara rasminya di pasaran Indonesia dalam bulan Februari 2016 yang lalu, menjadikannya sebagai negara pertama di dunia yang menerima kemasukan model tersebut. Sepanjang pengetahuan penulis juga, sehingga kini Honda CBR150R 2016 masih belum dilancarkan untuk pasaran negara-negara lain selain daripada Indonesia. Bagaimanapun, terdapat pengimport-pengimport bebas yang telah membawa masuk model berkenaan ke negara Vietnam dan Bangladesh, dan ini membuatkan penulis tertanya-tanya kenapa situasi yang sama tidak berlaku di negara kita.

Berbanding generasi sebelumnya, Honda CBR150R 2016 serba baharu ini mempunyai reka bentuk yang sangat cantik dan sporty. Lebih menarik lagi, model dengan enjin 150cc DOHC 6-kelajuan ini diperkenalkan sebagai sebuah model yang boleh mempamerkan prestasinya di litar perlumbaan, menandakan ianya sebagai sebuah model yang berprestasi dengan ciri-ciri pengendalian yang sangat baik. Model ini sangat sesuai untuk peminat-peminat motosikal di pasaran Malaysia yang sememangnya diketahui amat mementingkan aspek pecutan dan kelajuan.

Apa yang penulis dapat katakan, pihak Boon Siew Honda patut mempertimbangkan kemasukan model ini ke pasaran Malaysia. Penulis percaya bahawa model ini akan laris di pasaran dan tidak akan mengulangi kegagalan model terdahulu yang dilancarkan pada tahun 2008. Honda CBR150R 2016 terbaharu ini mempunyai ramuan yang secukupnya untuk menarik perhatian pembeli, jadi amat mustahil jika jualannya tidak mencapai sasaran.