Berapakah kelajuan maksimum Honda RS150R?

0
8838

Honda RS150R 2016

Model terbaharu Honda RS150R telah pun dilancarkan dengan rasminya untuk pasaran Malaysia pada minggu lepas, dan dijual pada harga bermula dari RM8,213.94 sehingga RM8,372.94 (termasuk GST). Menurut Boon Siew Honda Sdn. Bhd., model tersebut bagaimanapun akan berada di pasaran mulai bulan Ogos 2016 akan datang.

Oleh kerana Honda RS150R ini dilengkapi enjin bersesaran 150cc DOHC dengan transmisi 6-kelajuan, tentunya ramai yang tertanya-tanya berapakah kelajuan maksimum yang mampu dicapai olehnya. Merujuk kepada model kembarnya di pasaran Indonesia iaitu Honda Supra GTR 150, pihak Honda di sana mengesahkan bahawa model tersebut hanya mempunyai kelajuan maksimum 122 km/j sahaja. Jadi adakah ini bermakna Honda RS150R juga hanya mempunyai kelajuan yang serupa, atau mempunyai kelajuan maksimum lebih tinggi?

Setakat ini masih belum ada maklumat rasmi mengenai kelajuan maksimum Honda RS150R yang diperolehi melalui sesi tunggang uji oleh mana-mana pihak, namun menurut sumber dari Boon Siew Honda sendiri, model tersebut mampu mencapai kelajuan sehingga 150 km/j. Kedengarannya begitu menarik sekali bukan? Namun benarkah Honda RS150R mampu ditunggang sehingga mencapai kelajuan puncak 150 km/j?

Berdasarkan pengalaman penulis sendiri dan hasil pemerhatian terhadap model-model kapchai dan moped keluaran Honda selama ini, kelajuan maksimum yang akan dicapai oleh model Honda RS150R ini dipercayai tidak akan melebihi 135 km/j (kelajuan berdasarkan data GPS). Ini kerana model-model keluaran Honda sejak akhir-akhir ini lebih mementingkan penjimatan petrol berbanding kelajuan, jadi sudah tentu perlu ada kompromi di situ.

Sebagai contoh, Honda Future yang dilengkapi enjin 125cc (versi karburator) hanya mempunyai kelajuan maksimum 100 km/j, disebabkan oleh penalaan enjin yang dilakukan oleh pihak Honda agar model tersebut mampu menawarkan tahap penjimatan enjin yang cekap. Hasilnya, Honda Future benar-benar merupakan sebuah motosikal jimat petrol.

Bagaimanapun, harapan untuk melihat Honda RS150R mempunyai kelajuan yang lebih tinggi berbanding seteru hebatnya Yamaha Y15ZR, atau mungkin juga Suzuki Belang R150, tetap ada. Mana tahu pihak Boon Siew Honda telah sedar bahawa mereka mungkin tidak mampu mengalahkan pencabar RS150R dari segi gaya dan rekaan, jadi menawarkan sebuah model dengan kelajuan sehingga 150 km/j adalah satu-satunya pilihan terakhir yang ada.