Kawasaki W800 Final Edition 2016 – berakhirnya suatu era

0
98

Kawasaki W800 Final Edition (001)

Kawasaki UK secara rasminya mengumumkan berakhirnya pengeluaran model ikonik dalam siri W. Bagi menandakan berakhirnya pengeluaran model klasik moden itu, Kawasaki turut mengumumkan pelancaran model istimewa terakhir untuk musim 2017 – Kawasaki W800 Final Edition dalam edisi terhad untuk peminat di pasaran Eropah. Model terakhir itu akan didatangkan dalam skim warna ‘Candy Brown’ dan ‘Candy Sunset Orange’.

Kawasaki W800 dikuasakan enjin 4-lejang bersesaran 773cc ‘parallel-twin’ dengan sistem sejukan udara, bersama-sama penampilan retronya yang cukup menarik dan nostalgia. Sejarah model tersebut¬†boleh dikesan bermula pada tahun 1966 apabila Kawasaki memperkenalkan W1, model yang dilengkapi enjin 650cc yang menghasikan kuasa 50hp. Kawasaki W1 merupakan model pertama Kawasaki dengan enjin empat lejang dalam kapasiti besar, dan menempa pencapaian yang baik terutamanya di pasaran USA.

Bagi meneruskan pencapaian W1, Kawasaki kemudiannya memperkenalkan model W650 pada tahun 1998 dengan enjin 676cc, dan seterusnya W800 diperkenalkan dalam tahun 2011. Menurut Kawasaki, walaupun sedih dan sukar untuk meninggalkan ‘sahabat lama’, namun pengeluaran W800 terpaksa diberhentikan memandangkan model tersebut kini tidak mampu lagi untuk mematuhi piawaian emisi ketat Euro 4 pada masa akan datang.