Honda Future FI dilancarkan dengan teknologi PGM-FI

0
941

HF_Front_FA_O

Honda Future mula diperkenalkan pada tahun 2012, merupakan salah sebuah model popular keluaran Boon Siew Honda untuk pasaran Malaysia. Antara kelebihan model tersebut ialah tahap penjimatan petrolnya yang sangat baik, dengan kemudahan ruang penyimpanan topi keledar bermuka penuh yang terletak di bahagian bawah kusyen model berkenaan.

Honda Future turut memiliki keluasan tangki bahan api maksimum sehingga 5.6 liter, membolehkan ianya melakukan perjalanan lebih jauh tanpa perlu berhenti dengan kerap untuk mengisi petrol. Berdasarkan maklumat terdahulu daripada Boon Siew Honda, Honda Future mampu pergi sejauh 338 kilometer dengan menggunakan hanya satu tangki penuh petrol. Bagaimanapun kelajuan maksimum Honda Future hanyalah 100 km/j.

Terkini bagi meneruskan lagi legasi Honda Future di pasaran Malaysia, Boon Siew Honda pada beberapa hari yang lepas telah memperkenalkan model terbaharu Honda Future FI yang kini dilengkapi dengan teknologi PGM-FI (Programmed Fuel Injection), iaitu sistem suntikan bahan api Honda yang canggih untuk penjimatan yang lebih baik.

Honda Future FI terbaharu turut tampil dengan beberapa penambahbaikan terkini yang lebih menarik berbanding model Honda Future sebelumnya, termasuklah pengenalan warna dan corak grafik terbaharu. Paling penting, Honda Future FI masih mengekalkan lampu kombinasi belakang jenis lama, yang mana lampu signal masih lagi bersepadu.

Untuk maklumat selanjutnya mengenai pelancaran model terbaharu Honda Future FI di pasaran Malaysia, Boon Siew Honda telah menerbitkan siaran akhbar rasmi dan gambar-gambar studio dalam resolusi tinggi untuk model berkenaan, seperti mana anda boleh membaca dan melihatnya dalam perenggan di bawah.

Siaran Akhbar: ‘LEBIH EFISIEN, LEBIH KEYAKINAN’ – HONDA FUTURE FI

  • Honda Future FI baharu dilengkapi dengan teknologi PGM-FI, sistem suntikan bahan api untuk penjimatan yang lebih baik.
  • Honda Future FI menawarkan ciri mewah yang menonjolkan kelas tersendiri.

Pulau Pinang, 23hb Mei 2016 – Boon Siew Honda telah memperkenalkan model terbaharunya, Honda Future FI yang menawarkan pengalaman menunggang yang lebih baik kepada penunggang motosikal. Dengan tagline ‘Lebih Efisien, Lebih Keyakinan’, Honda Future FI kini lebih berkuasa dan mengekalkan ciri-ciri yang praktikal dan waranti tambahan untuk enjin telah diberi khas untuk pelanggan Honda Future FI.

Boon Siew Honda telah menaik taraf Honda Future dengan memperkenalkan teknologi suntikan bahan api yang dinanti-nantikan. Honda Future FI yang berpandukan sistem suntikan bahan api efisien mampu menempuh perjalanan jarak jauh dengan muatan tangki yang sebesar 5.4 liter. Dengan menggabungkan dua elemen penting ini, Honda Future FI diyakini lebih berkuasa serta menjimatkan berbanding sebelumnya.

Salah satu keistimewaan motosikal ini adalah kebuk-U 18 liter yang masih dikekalkan sepertimana yang terdapat pada model sebelumnya yang boleh memuatkan topi keledar bermuka penuh serta barang-barang peribadi untuk kemudahan pengguna.

Dari segi penampilan pula, Honda Future FI boleh didapati dalam warna dan jalur badan baharu dengan reka bentuk yang lebih mewah. Pada masa yang sama, penunggang akan tetap merasakan penjimatan bahan api yang menakjubkan, praktikal dan selesa yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

Pelanggan boleh membuat pilihan melalui dua variasi berbeza daripada model yang sama, Variasi 1 yang terdiri daripada roda sporti, penghidup enjin elektrik dan brek cakera depan, manakala Variasi 2 pula menggabungkan penghidup enjin elektrik, roda sporti dan brek cakera depan dan belakang.

Kedua-dua variasi dipasarkan dalam tiga warna menarik – Merah ‘Candy’, Biru Metalik dan Ungu Metalik. Honda Future FI ditawarkan pada harga pasaran dari RM6,072.74 ke RM6,358.94 (termasuk GST). Model terbaharu ini diberi jaminan 2 tahun atau 20,000 km dan waranti tambahan 1 tahun atau 10,000km untuk enjin (yang mana terdahulu).