Honda Winner 150 dilancarkan untuk pasaran Vietnam, harga bermula dari RM8,343.90 sehingga RM8,435.62

0
420

2016 Honda Winner 150 Vietnam (001)

Pada tarikh 24 Mei 2016 kelmarin, PT Astra Honda Motor secara rasminya melancarkan model terbaru Honda Supra GTR 150 untuk pasaran Indonesia. Sama ada ianya adalah kebetulan atau sememangnya telah dirancang, Honda Vietnam pada tarikh yang sama turut melancarkan Honda Winner 150 termasuk mengumumkan harga jualan rasminya.

Sementara itu untuk pasaran Malaysia juga pada tarikh yang sama, Boon Siew Honda telah melancarkan versi dipertingkatkan Honda Future FI yang kini didatangkan dengan sistem suntikan bahan api PGM-FI (Programmed Fuel Injection) yang canggih dan efisien. Mungkin seterusnya adalah giliran Honda Winner 150 pula untuk masuk ke pasaran Malaysia.

Honda Winner 150 akan memulakan jualannya di pasaran Vietnam secara rasmi mulai tarikh 8 Jun 2016, berdasarkan dua senarai harga yang ditetapkan seperti berikut:

  • Honda Winner 150 Sports Version: 45,490,000 VND (Vietnamese Dong)
  • Honda Winner 150 Premium Version: 45,990,000 VND (Vietnamese Dong)

Kedua-dua harga berkenaan apabila ditukarkan kepada nilai Ringgit Malaysia mengikut kadar semasa ketika ini ialah sebanyak RM8,343.90 untuk varian Sports Version, manakala varian Premium Version berharga sebanyak RM8,435.62. Untuk pasaran Indonesia pula bagi model Honda Supra GTR 150, harga yang ditawarkan adalah seperti berikut:

  • Honda Supra GTR 150: Rp. 21,300,000 (Indonesian Rupiah)

Apabila ditukarkan kepada nilai Ringgit Malaysia mengikut kadar semasa, Honda Supra GTR 150 ditawarkan pada harga yang lebih rendah untuk pasaran Indonesia berbanding harga yang ditawarkan untuk pasaran Vietnam, iaitu sekitar RM6,409.70 sahaja.

Untuk anda yang mungkin belum tahu mengenai spesifikasi teknikal Honda Winner 150, berikut ialah spesifikasi utama model berkenaan, sumber dari Honda Vietnam:

  • Enjin: 149.16cc, 4-lejang, DOHC, Silinder Tunggal
  • Sistem Penyejuk: Jenis Cecair (Liquid Cooled)
  • Sistem Transmisi: 6-kelajuan
  • Sistem Penyampaian Bahan Api: PGM-FI
  • Kuasa Maksimum: 15.9PS @ 9,000rpm
  • Tork Maksimum: 13.5Nm @ 6,500rpm
  • Sistem Suspensi Depan: Telescopic
  • Sistem Suspensi Belakang: Monoshock
  • Sistem Brek Depan: Cakera
  • Sistem Brek Belakang: Cakera
  • Saiz Tayar Depan: 90/80-17M/C 46P
  • Saiz Tayar Belakang: 120/70-17M/C 58P
  • Sistem Penghidup: Tendang & Eletrik
  • Kapasiti Maksimum Tangki Petrol: 4.5 liter
  • Berat Kering: 119 kilogram

Menurut sumber dari Indonesia, Honda Supra GTR 150 mempunyai kelajuan hanya 122 km/j. Jika benar, mungkin ianya juga adalah kelajuan yang sama untuk Honda Winner 150 di pasaran Vietnam. Antara ciri utama Honda Winner 150 ialah penggunaan tayar lebar di bahagian depan dan belakang, yang membantu memastikan tunggangan model berkenaan menjadi lebih stabil ketika memecut atau ketika mengambil selekoh.

Honda Winner 150 untuk pasaran Vietnam ditawarkan dalam pilihan empat warna, dua warna untuk varian Sports Version dan dua warna lagi untuk varian Premium Version. Untuk mendapatkan gambaran sebenar pelancaran Honda Winner 150 di pasaran Vietnam kelmarin, anda boleh layari gambar-gambar menariknya dalam galeri di bawah.

Sumber gambar dari: Honda Winner 150 FB & Honda Vietnam FB