Honda Supra GTR 150 dilancarkan untuk pasaran Indonesia

0
307

2016 All-New Honda Supra GTR 150 (001)

Hari ini, PT Astra Honda Motor secara rasminya melancarkan model terbaru Honda Supra GTR 150 untuk pasaran Indonesia. Mungkin nama model motosikal ‘bebek’ terbaru ini kelihatan agak berlebihan, namun ianya adalah model yang sama untuk pasaran Vietnam, dan dikenali dengan nama yang lebih lunak iaitu Honda Winner 150.

Honda Supra GTR 150 merupakan model penting yang dikeluarkan oleh Honda pada tahun ini, memandangkan model ini telah lama dinanti-nantikan oleh peminat-peminat motosikal dalam kategori moped 150cc di pasaran ASEAN. Model tersebut akan bersaing dengan model Yamaha Jupiter MX 150 dan Yamaha MX King 150 di pasaran Indonesia, manakala di pasaran Vietnam ianya akan bersaing dengan model Yamaha Exciter 150. Apabila ianya dilancarkan di pasaran Malaysia nanti, saingannya ialah Yamaha Y15ZR.

Adakah Honda Supra GTR 150 ini mempunyai ramuan yang cukup lengkap untuk memberikan saingan di dalam kelas 150cc bagi kategorinya? Sudah tentu. Konsep rekaannya sahaja sudah cukup memikat apabila tampil dengan gaya dan perwatakan yang cukup sporty, agresif dan kelihatan cukup laju walaupun berada dalam keadaan statik.

Boleh juga dikatakan Honda Supra GTR 150 ini akan turut bersaing dengan model terbaru Suzuki Satria F150 yang ternyata mempunyai prestasi cukup padu sejak ianya dilancarkan di pasaran Indonesia dalam bulan Februari 2016 yang lepas. Berbanding model kembarnya Honda Sonic 150R, Honda Supra GTR 150 juga lebih mendapat perhatian kerana inilah rekaan sebuah moped terbaru yang selama ini ramai tidak menjangkakan bahawa Honda akan mengeluarkan sebuah motosikal dengan konsep rekaan seperti itu.

Tentu ramai bersetuju bahawa Honda Supra GTR 150 ini mempunyai spesifikasi yang cukup mantap dan hampir sempurna, apabila ianya dikuasakan enjin empat lejang bersesaran 150cc DOHC, lengkap dengan sistem ‘Liquid Cooled with Auto Fan’, sistem suntikan bahan api PGM-FI, kuasa setinggi 15.9PS @ 9,000rpm dengan tork maksimum 13.5Nm @ 6,500rpm, dan paling penting ialah sistem transmisi manual miliknya dengan 6-kelajuan.

Secara teori di atas kertas dan berdasarkan maklumat yang diberikan oleh syarikat pengeluarnya, Honda Supra GTR 150 ini mempunyai prestasi yang tinggi dan cukup memuaskan, di samping ianya direka untuk lebih tahan lasak dan berupaya menempuh perjalanan yang jauh lagi mencabar. Semua itu seterusnya disempurnakan dengan sistem pembakaran bahan api yang sangat efisien bersama-sama tangki petrol seluas 4.5 liter.

Seandainya ramai yang memuji pencabarnya keluaran Yamaha yang didatangkan dengan tayar bersaiz lebar untuk prestasi kawalan yang lebih stabil sewaktu tunggangan, Honda Supra GTR 150 ini apa kurangnya. Ianya dilengkapi tayar depan lebar berukuran 90/80-17 46P (Tubeless), manakala tayar belakang didatangkan dalam saiz lebih lebar 120/70-17 58P (Tubeless). Sistem suspensi belakang tunggal dengan sepasang brek cakeranya melengkapkan lagi spesifikasinya untuk memberikan cabaran jitu kepada pesaingnya.

Untuk pasaran Indonesia, Honda Supra GTR 150 tersedia dalam empat pilihan warna yang menarik seperti ‘Grande Blue’, ‘Spartan Red’, ‘Gun Black’ dan ‘Cruiser White’. PT Astra Honda Motor yakin bahawa Honda Supra GTR 150 ini akan menarik perhatian ramai pembeli kerana ianya boleh dikatakan sebagai sebuah moped 150cc yang serba lengkap bukan saja dari segi rekaan, malah dari segi ciri-ciri dan spesifikasi yang ditawarkan.