Laporan dari BERNAMA – Boon Siew Honda akan melancarkan model terbaru pada Jun 2016, sebuah lagi pada akhir tahun ini

0
929

The New 2016 Honda Winner 150 Vietnam (004)

Honda Winner 150 (Vietnam)

Terdapat satu laporan yang boleh dikatakan menarik perhatian kita semua dari agensi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), bertarikh 17 April 2016. Menurut laporan itu, Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (BSH) bakal melancarkan dua model motosikal terbaru dalam segmen cub atau moped, bermula dengan model pertama pada bulan Jun ini.

Perkara tersebut telah disahkan oleh Timbalan Pengerusi dan Timbalan Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Tan Hui Jing, yang mana beliau turut dilaporkan berkata kedua-dua model terbaru itu dijangka akan dapat meningkatkan jualan dan mengembangkan bahagian pasaran keseluruhan syarikat berkenaan. Setakat ini BSH menyasarkan untuk menguasai 25 peratus bahagian pasaran motosikal di Malaysia menjelang akhir tahun ini.

Namun begitu dalam temuramah yang dijalankan oleh BERNAMA, tiada maklumat lebih lanjut mengenai kedua-dua model terbaru yang akan dilancarkan, menjadikan kita semua tertanya-tanya model apakah yang bakal di bawa masuk ke pasaran tempatan itu. Berdasarkan laporan terdahulu, BSH akan melancarkan model Sonic 150R, seperti mana yang telah diumumkan sewaktu pelancaran Honda Wave Dash 2016 pada Januari 2016.

Honda Sonic 150R Repsol Special Edition Indonesia

Honda Sonic 150R (Indonesia)

Bagaimanapun dengan pengenalan model terbaru Honda Winner 150 di pasaran Vietnam dalam bulan April 2016 yang lepas, kita juga boleh membuat andaian bahawa BSH akan melancarkan model tersebut ke pasaran tempatan, dan Honda Sonic 150R mungkin tidak akan dibawa masuk seperti mana yang dirancangkan. Apatah lagi Honda Winner 150 (dengan lampu signal belakang terpisah) telah kerapkali ditemui sedang diuji di sekitar kawasan Pulau Pinang sejak akhir-akhir ini, menurut sumber yang boleh dipercayai.

Jika Honda Winner 150 dilancarkan di pasaran Malaysia pada bulan Jun 2016 ini, timbul pula persoalan model terbaru apakah yang akan dilancarkan pada hujung tahun ini? BSH hanya mengatakan ianya adalah model terbaru, jadi terdapat banyak kemungkinan di situ. Adakah ianya Honda CBR150R 2016 terbaru yang dilancarkan di pasaran Indonesia?

Oleh kerana segalanya masih samar-samar, eloklah kita bersabar dan menunggu pelancaran rasmi model moped terbaru Honda yang akan diadakan pada bulan Jun ini. Diharapkan BSH akan membawakan berita gembira kepada kita semua demi memeriahkan lagi arena permotoran di negara kita setanding dengan kemeriahan di negara-negara jiran.