Hyundai memperkenalkan Elantra 2016 serba baharu

0
180

The All-New 2016 Hyundai Avante (001)

Hyundai Motor Company, syarikat automotif terbesar Korea Selatan, dalam bulan September 2015 yang lalu telah memperkenalkan Elantra 2016 serba baharu. Model sedan tersebut dikenali dengan nama yang berlainan; Hyundai Avante untuk pasaran Korea.

Hyundai Elantra 2016 serba baharu kini telah sampai ke generasi yang keenam, muncul buat pertama kali dalam tempoh lebih 25 tahun yang lalu dan telah terjual melebihi 10 juta unit. Model itu pernah memenangi beberapa anugerah dan pengiktirafan termasuklah ‘2012 North American Car of the Year’, ‘2012 South African Car of the Year’ dan ‘Highest ranked in compact car segment for initial quality’ dalam tahun 2014 oleh J.D. Power and Associates.

Menurut Hyundai, lima generasi terdahulu Elantra telah menyumbang kepada popularitinya dan ianya kekal sebagai salah satu model terlaris keluaran syarikat itu. Selain daripada rekaan terbaru yang menarik dan elegan, Elantra 2016 juga menerima naik taraf dari segi prestasi enjin, tahap kecekapan bahan api, keselesaan dan ciri-ciri keselamatannya, dengan penggunaan teknologi baru yang ekstensif dan mencapai standard lebih tinggi.

Antara rangkaian teknologi keselamatan canggih yang melengkapi Elantra 2016 serba baharu termasuklah ‘Autonomous Emergency Braking’ (AEB), ‘High Beam Assist’ (HBA), ‘Blind Spot Detection’ (BSD) dan ‘Rear Cross Traffic Alert’ (RCTA).

Untuk pasaran Korea Selatan, ianya boleh didapati dengan pilihan enjin dan transmisi yang luas untuk memenuhi setiap keperluan yang berbeza bagi setiap pelanggan. Pilihan enjin yang ditawarkan adalah seperti Diesel 1.6 VGT, 1.6 GDi dan 2.0 MPi Atkinson, namun jenis enjin mungkin berbeza bergantung kepada setiap pasaran yang menjualnya.

Hyundai mensasarkan jualan sekitar 50,000 unit untuk pasaran Korea pada tahun 2015, dan berhasrat menjual kira-kira 700,000 unit di pasaran global pada tahun ini (Korea: 110,000 / Overseas: 590,000). Peminat Hyundai di pasaran Malaysia boleh menjangkakan Elantra 2016 serba baharu ini akan dilancarkan tidak lama lagi.

Untuk anda, saksikan galeri gambar-gambar menarik Hyundai Elantra 2016 serba baharu di dalam galeri berikut. Model-model yang ditunjukkan adalah model untuk pasaran Korea (dikenali dengan nama rasmi Hyundai Avante) dan pasaran Amerika Syarikat (USA).