Spesifikasi dan ciri-ciri Proton Perdana 2016 serba baharu

0
180

2016 New Proton Perdana Now Available For Booking

Proton bakal melancarkan model terbaharunya Perdana 2016 serba baharu, dengan tempahan untuk model terbabit telah pun dibuka. Untuk anda yang mahu mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai spesifikasi dan ciri-ciri yang bakal melengkapi Perdana 2016, pihak Proton telah menerbitkan brosur ringkas seperti mana anda boleh melihatnya dalam galeri yang disediakan di bawah. Untuk makluman anda juga, pembangunan Perdana 2016 diasaskan daripada model Honda Accord generasi ke-8, namun model Accord tersebut telah pun menerima rekaan semula yang ekstensif di bahagian luaran dan dalamannya.

Berdasarkan maklumat-maklumat yang dipaparkan di dalam brosur yang diterbitkan oleh Proton itu, Perdana 2016 akan didatangkan dalam varian 2.4L Premium, dan dikuasakan enjin 2.4 liter (4 Cylinder 16 Valve DOHC) dengan sistem PGM-FI (Programmed Fuel Injection), seterusnya menghamburkan kuasa maksimum 178hp @ 6,500rpm dengan tork puncak 222Nm @ 4,300rpm. Sistem transmisi yang bergandingan dengan enjin tersebut ialah automatik 5-kelajuan.

Untuk bahagian luaran, Perdana 2016 dilengkapi lampu utama dengan ciri DRL (Daytime Running Lamp), kit badan dengan spoiler dan sistem ‘Park Assist’ yang merupakan gabungan di antara kamera undur (Reverse Camera) dan sensor depan dan belakang (Front & Rear Sensor). Bahagian dalaman Perdana 2016 pula didatangkan dengan sistem¬†navigasi GPS dengan skrin sesentuh, penyaman udara automatik dwi-zon, tempat duduk pemandu berkuasa dengan 8 tahap pelarasan, sistem audio dengan skrin sesentuh, termasuklah ciri ‘Paddle Shifter’ (penganjak pedal) untuk kemudahan dan gaya penukaran gear yang lebih sporty.

Ciri-ciri keselamatan untuk Perdana 2016 pula antaranya ialah sistem brek ABS (Anti-Lock Braking System), EBD (Electronic Brake Distribution) dan ESC (Electronic Stability Control). Perdana 2016 boleh didapati dalam pilihan enam warna luaran yang menarik seperti Kelabu (Graphite Grey), Perak (Sterling Silver), Merah (Ruby Red), Putih (Cotton White), Hitam (Midnight Black), dan akhir sekali Emas (Citrine Gold). Setakat ini Proton masih belum mengumumkan tarikh sebenar pelancaran Perdana 2016, namun dijangkakan ianya akan dilancarkan dalam masa terdekat.